Aneka juadah Aidilfitri generasi kedua di Jalan TAR

Siti Noorikha merupakan generasi kedua dalam perniagaan keluarganya yang menjual juadah Aidilfitri di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur yang telah bertahan selama hampir 40 tahun. ( FOTO: HARAKAHDAILY/Khairuizzah Helmi Azhar)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Aneka juadah raya yang kini sudah masuk ke generasi yang kedua masih mendapat sambutan hangat daripada orang ramai yang berkunjung membeli di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR).

Walaupun dikelilingi dengan pelbagai jualan baju raya, sangat menarik perhatian apabila aneka juadah raya yang pelbagai turut dijual, terutama aroma rendang tok yang menyelerakan begitu menyerlahkan dan mewarnai aura Aidilfitri yang dijangka diraikan umat Islam di negara ini, esok.

- Advertisement -

Menurut Siti Noorikha Abu Bakar, 41, aneka juadah raya yang dijualnya sudah bertahan hampir 40 tahun yang bermula daripada generasi bapa bersama datuknya; dan seterusnya generasi kedua bapanya bersama dirinya, yang mana bermula tahun ini, dia pula mendidik anaknya untuk menyambung generasi yang ketiga.

“Tahun ini adalah tahun percubaan untuk menambah menu seperti rendang dendeng dan paru sira.

“Alhamdulillah, dalam pemerhatian saya, rendang dendeng melebihi jualan rendang tok yang menjadi best seller setiap kali jualan sempena hari raya,” katanya ketika ditemui HarakahDaily, di sini.

Sebenarnya, Siti Noorikha tidak ditumpukan kepada jualan juadah hari raya sahaja, tetapi kami juga sudah membuka bakeri dikenali sebagai Caliph Bakery di Gombak.

“Jualan aneka juadah Aidilfitri di Jalan TAR ini hanya dibuka pada pertama Ramadan sehingga malam raya. Selepas seminggu raya, kami akan mula semula jualan roti di bakeri,” ujarnya.

Tambahnya, mereka mempunyai tiga kumpulan untuk memasak kesemua juadah raya yang dijual itu.

Kumpulan pertama adalah kumpulan lemang; kumpulan kedua, kumpulan ketupat palas dan kumpulan ketiga adalah kumpulan memasak bahan makanan basah.

Siti Noorikha juga sempat berkongsi cara mereka mengekalkan kualiti makanan sepanjang jualan mereka di Jalan TAR.

Juadah Aidilfitri seperti ketupat, lemang dan rendang tok ada dijual di gerai milik Siti Noorikha yang beroperasi di Jalan Tunku Abdul Rahman ini.

“Basuh semua bahan basah dengan bersih. Apabila menumis dan masak akan dibiar lama agar semua rempah sebati dan mengikuti cara penjagaan makanan dengan betul,” kongsinya yang turut menyatakan operasi bisnes mereka tidak perlu mengambil pekerja yang ramai kerana sistem memasak dengan separuh secara manual, manakala separuh lagu menggunakan mesin.

Dia juga mengakui walaupun terkesan dengan kenaikan harga barangan mentah, namun bahan jualannya dijual dengan harga mampu milik.

“Kami pastikan pembeli mampu membeli jualan kami dengan harga mampu milik dan kualiti yang memuaskan,” ujarnya.

Siti Noorikha juga menyatakan, operasi bisnes yang dijalankan dalam era ekonomi tidak menentu dan membimbangkan pada ketika ini, membuatkan dia mengambil inisiatif untuk tidak tertumpu pada satu lokasi tapak bisnes.

“Justeru, kami mengambil jalan alternatif dengan menjual bahan jualan kami di semua platform di atas talian dan ejen. Tambahan pula tahun ini, kami telah mendapat tempahan untuk jualan di bank-bank pula.

“Keuntungan yang kami dapat kalau dibandingkan tahun lepas, lebih mendapat keuntungan hampir 30 atau 40 peratus,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/2024

- Advertisement -