ALOR SETAR: Suasana sesak di pasar raya menjelang Aidilfitri merupakan perkara biasa di musim-musim perayaan, namun pemandangan di luar kebiasaan apabila Ketua Dewan Ulama PAS Malaysia didapati turut beratur dengan trolinya bersama-sama pembeli lain.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya, yang sabar beratur sambil menolak troli menunggu giliran untuk menimbang barangan yang dibeli telah dirakam kamera, menjadikan suasana Aidilfitri yang dijangka disambut esok, terasa lebih meriah.
Difahamkan beliau bersama isteri keluar membeli barangan keperluan untuk memasak juadah Aidilfitri untuk menyambut rakan-rakan beraya di rumahnya, esok.
“Dekat (hampir) setengah jam juga beratur untuk timbang sayur, ini tak termasuk beratur untuk bayar lagi,” katanya melalui pautan media sosialnya, pagi ini.
Tambah Ahmad, latihan sabar tidak semestinya di medan perang tetapi juga di pasar raya terutama di waktu menjelang hari raya ini.
Katanya juga, pelbagai ragam dan telatah manusia dapat dilihat sepanjang berada di pasar raya terbabit.
“Ada yang tiga kali pusing tak jumpa lagi barang yang nak dibeli. Dah lah sesak. Paling syok, barang jumpa, tau-tau isteri pula menghilang ke mana,” ujarnya berseloroh.
Apapun kata beliau, jangan pula sudah masuk kereta, tiba-tiba isteri baru maklumkan ada barang lagi yang tertinggal belum dibeli.
Sebenarnya gelagat Ahli Parlimen Pokok Sena beratur panjang bersama pembeli lainitu sempat dirakam oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahaya yang kebetulan pada ketika itu berada di pasar raya yang sama.
“Sesak Mydin Alor Mengkudu hari ini, pakat nak sambut raya. Celah-celah tu ternampak Dato’ Ketua Dewan Ulama Pusat, Ustaz Ahmad Yahaya dok beratur surung (menolak) troli. Masak sedap-sedap Ustaz, esok kami pi (datang) beraya di rumah,” katanya dalam media sosialnya. – HARAKAHDAILY 9/4/2024