Ubi kayu tak wajar jadi makanan asas rakyat Malaysia

Orang ramai tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan ubi kayu sebagai alternatif sementara kepada beras. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tidak wajar untuk sewenang-wenangnya menjadikan ubi kayu sebagai alternatif sementara kepada beras sebagai makanan asas rakyat negara ini.

Itu pandangan sama yang dikongsi orang ramai kepada HarakahDaily susulan kenyataan Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul semalam, yang mencadangkan agar ubi kayu dijadikan sebagai makanan alternatif kepada beras.

- Advertisement -

Johari mendakwa langkah tersebut adalah yang terbaik ketika kerajaan sedang menyelesaikan isu bekalan beras putih tempatan (BPT).

Namun begitu, hasil daripada tinjauan HarakahDaily mendapati orang ramai tidak berpuas hati dengan kenyataan Johari itu.

Abdul Quddus Tumirin

Ejen takaful, Abdul Quddus Tumirin,30, berkata, nasi merupakan makanan kebiasaan untuk setiap rakyat negara ini, yang mana baginya kenyataan Johari itu sudah tentu menimbulkan kemarahan setiap rakyat negara ini.

“Lagipun beras digunakan sebagai sandaran untuk membayar zakat dan perkara sebegini membuktikan kepentingan beras dalam negara ini,” katanya.

Tambahnya, kerajaan seharusnya perlu memahami keadaan rakyat pada masa ini yang sememangnya sedang bergelut dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup, dan sememangnya telah menjadi makanan ruji dalam negara ini.

“Cadangan untuk jadikan ubi kayu sebagai alternatif untuk beras sangat tidak sesuai. kerana beras tidak boleh ditukar seperti kita nak tukar daging ayam dengan itik,” katanya.

Sementara itu, pegawai pemasaran digital Bryan Rozelle a/l Gerald Rozelle melabelkan kenyataan Johari tersebut sebagai tidak adil.

Katanya, ini jelas membuktikan pihak atasan kerajaan tidak memahami keadaan rakyat biasa yang semakin terbeban dengan keadaan ekonomi pada masa ini.

“Cuba bayangkan ada sesetengah keluarga terpaksa menghadapi pelbagai kesusahan yang mana cadangan tersebut sememang tidak membantu mereka sedikitpun.

“Ke mana hilangnya perasaan empati pihak atasan kerajaan terhadap rakyat biasa yang tengah susah ya?” soalnya.

Najib Mohktar

Dalam pada itu Ketua Kampung Desa Mukmin Warisan, Najib Mohktar juga meluahlan kekecewaab terhadap kenyataan Johari.

Dia menyatakan kerajaan bukan sahaja gagal menguruskan isu rakyat seperti perobohan kampungnya dan juga Kg. Bunga Raya Subang tetapi juga dalam menguruskan bekalan beras dalam negara itu sendiri.

“Sudah tentu saya bersama-sama penduduk Kg. Bunga Raya amat kecewa dengan kenyataan tersebut kerana kami bukan setakat tidak mempunyai rumah tetapi sekarang ini pula makanan asas dalam negara ini pun kena ganggu.

“Saya melihat sekarang ialah kerajaan seolah-olah nak buatkan rakyat merempat di bumi sendiri, sehinggakan apa kita makan pun nak ditentukan, sedangkan rakyat di negara ini makan nasi tanpa mengira kaya atau miskin.

“Justeru, kami semua menggesa kerajaan dan mana-mana pihak berkepentingan supaya selesaikan masalah ini segera dan jangan politikkan lagi isu-isu sebegini.

“Lagipun saya bersama-sama sebahagian penduduk Kg. Bunga Raya tidak diperhambakan oleh apa pun hutang dan kami takkan biarkan kerajaan ganggu bahagian makanan asas kami pula,” katanya dengan tegas. – HARAKAHDAILY 7/4/2024

- Advertisement -