‘Tanda sayang kami kepada anda semua’

- Advertisement -

KUBANG PASU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah menyumbang sebanyak RM1,000 kepada persatuan penghantar makanan dan pemandu Grab Kubang Pasu untuk mengadakan majlis berbuka puasa atau aktiviti lain yang bersesuaian.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis agihan kurta percuma kepada mereka di Dataran Darul Aman, Jitra, petang semalam.

“Sumbangan kurta ini sebagai tanda ingatan dari pihak saya dan kerajaan negeri kepada food rider dan Grab driver di Kubang Pasu ini, tanda sayang kami kepada anda semua,” katanya.

Dalam pada itu Haim yang juga Exco Kerajaan Negeri mengingatkan yang hadir agar berhati-hati melakukan tugas dan sentiasa menyebarkan kebaikan tatkala bertemu pelanggan.

“Apapun, buat kerja bersungguh-sungguh dengan ikhlas. Ucapkan salam bila sampaikan makanan kepada pelanggan dan jangan lupa sebarkan kebaikan. Insya-Allah, Dia akan beri keberkatan pada rezeki kita untuk keluarga,” tambahnya lagi.

Pada majlis itu, 100 helai kurta eksklusif diagihkan kepada 100 penghantar makanan dan pemandu Grab terawal hadir ke lokasi berkenaan.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk hadir ke program anjuran persatuan berkenaan sekiranya dijemput dan berlapangan.

“Kalau nak buat majlis buka puasa, saya akan hadir sekiranya berkelapangan. Saya doakan agar anda semua berjaya terutama kepada anak-anak muda,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 4/4/2024

- Advertisement -