Diminta tambah penerbangan ke Kota Bharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penambahan penerbangan ke Kelantan berupaya meningkatkan lebih ramai pelancong ke negeri itu sempena Tahun Melawat Kelantan tahun ini, demikian pandangan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff.

- Advertisement -

“Apakah bentuk sokongan yang diberikan oleh kerajaan kepada industri penerbangan untuk menambah destinasi dari dan ke Kota Bharu bagi menggalakkan lebih ramai pelancong domestik ke Kelantan terutamanya pada tahun Melawat Kelantan 2024 tahun inilah,” katanya.

Beliau meminta kerajaan menyatakan inisiatif yang dilakukan ke arah usaha tersebut ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Terdahulu, Martina meminta kementerian terbabit menyatakan bilangan penerbangan ke Kelantan menjelang musim perayaan tidak lama lagi dan usaha menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra menjadi lapangan terbang antarabangsa.

Timbalan Menteri, Datuk Hasbi Habibollah berkata, lapangan terbang itu sedang dalam proses pembesaran bagi membolehkan ia menampung empat juta penumpang setahun.

“Sebagaimana yang saya katakan tadi, satu pembesaran lapangan terbang daripada 1.5 MPPA (million passengers per annum), apabila siap nanti, insyaAllah ia boleh menampung empat juta penumpang setahun. Itu satu sokongan sudah pasti,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/4/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!