KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Pahang terpaksa menggunakan elaun dan duit poket sendiri untuk memberi khidmat kepada masyarakat.
ADUN Beserah Andansura Rabu berkata, menafikan hak pembangkang mendapat peruntukan sewajarnya seperti menafikan hak rakyat untuk mendapat khidmat daripada wakil-wakil yang dipilih mereka.
Oleh itu, katanya menteri besar (MB) hendaklah membuang ego politik dan menunaikan apa yang dihasratkan Tuanku Sultan Pahang.
“Kami pembangkang sentiasa komited mengenepikan sentimen politik kepartian untuk bersama-sama kerajaan membangunkan negeri ini.
“Kerajaan mesti bersikap terbuka dan berhenti bermain politik dalam mengurus hal ehwal rakyat di semua peringkat pentadbiran,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.
Baru-baru ini, Sultan Pahang ketika bertitah pada Majlis Sambutan Nuzul Quran, Bacaan Yassin dan Tahlil Al Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar menyifatkan kerajaan pemerintah untuk semua sebagaimana prinsip keadilan dalam Islam iaitu apabila sesuatu diletakkan pada tempatnya.
Menurut baginda keadilan bukan hanya melibatkan mereka yang bersama dengan pemerintah, bahkan kepada pihak pembangkang juga perlu ditegakkan keadilan.
Andansura turut melahirkan perasaan kesal kerana Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail masih cuba berdalih dan mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.
“Peruntukan apa sudah disalur kepada pembangkang. Hanya sejumlah RM30,000 setahun untuk pembangunan kecil yang diuruskan oleh pejabat daerah.
“Dan RM5,000 setahun untuk program-program kebajikan dalam bulan Ramadan. Berapa banyak projek pembangunan kecil yang boleh dilaksana dengan peruntukan RM30,000,” ujarnya.
Menurutnya, pembangkang terpaksa memilih projek yang betul-betul perlu diutamakan.
Malah, katanya belanja menguruskan Pusat Khidmat Wakil Rakyat bukan kecil.
“Kami terpaksa bekerja keras segenap upaya untuk memenuhi pelbagai keperluan dan permintaan rakyat,” tambahnya.
PERIKATAN NASIONAL dan Barisan Nasional masing-masing mempunyai 17 Adun di Pahang, manakala Pakatan Harapan pula 8. – HARAKAHDAILY 4/4/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!