Laksana solat sunat istisqa’ di kawasan padang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan yang beragama Islam digalakkan memakai pakaian yang bersesuaian ketika menunaikan solat sunat istisqa’ di kawasan padang atau ruang terbuka.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, mereka yang menunaikan solat istisqa’ juga digalak membawa binatang ternakan.

Katanya usaha itu sebagai menyatakan perhambaan kepada Allah SWT.

“Pada mesyuarat Exco semalam kerajaan negeri berharap rakyat Kelantan melakukan solat istisqa’ bagi memohon hujan ekoran cuaca panas melampau beberapa minggu kebelakangan ini.

“Seluruh rakyat Kelantan melalui komuniti kepimpinan setempat diminta untuk mengadakan solat istisqa’ di lokasi masing-masing,” katanya di sini.

Kata beliau juga sebelum solat istisqa’ dilaksanakan orang ramai hendaklah memperbanyak istighfar.

Menurutnya, ia bagi menunjukkan kesungguhan pengharapan kita kepada Allah SWT, di samping khatib memperingatkan dalam khutbah istisqa’ menjauhi segala larangan Allah SWT bagi mengangkat segala musibah dan bencana.

“Sempena Ramadan sesuai dilakukan solat istisqa’ dengan ketakwaan dan amal soleh bagi memohon diturunkan hujan yang mencurah-curah serta menyegarkan muka bumi,” tambahnya.

Cuaca di Kota Bharu jam 9 pagi tadi mencatat suhu 27°C dengan tiupan angin 5 kilometer sejam dan berlaku sedikit mendung. – HARAKAHDAILY 4/4/2024