PRK 6 kerusi parlimen perlu keputusan Speaker

Dr Wan Nik Wan Yussof
- Advertisement -

KOTA BHARU: Keputusan muktamad pilihan raya kecil (PRK) di enam kawasan parlimen yang membabitkan Ahli Parlimen BERSATU yang menyokong perdana menteri bergantung kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, walaupun pindaan perlembagaan BERSATU sudah mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), namun ia perlu memaklumkan kepada Speaker.

“Maknanya Speaker kena buat keputusan, sama ada kosong atau tidak. Sekirannya Speaker setuju, barulah notis kekosongan enam kerusi parlimen Bersatu terbabit diserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk proses pilihan raya.

“Dan dalam masa 60 hari selepas SPR menerima notis Speaker, agensi itu perlu mengumumkan tarikh pilihan raya di enam kerusi terbabit diadakan,” katanya di sini.

Semalam, Ketua Armada BERSATU Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberitahu RoS telah meluluskan permohonan pindaan perlembagaan BERSATU bagi membolehkan parti itu mengosongkan enam kerusi ahli parlimen yang menyokong pihak lain.

Pada Mac lepas, BERSATU meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti itu selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas.

Sebelum ini enam Ahli Parlimen BERSATU menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka iaitu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Dato’ Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Selain itu Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Langkah serupa juga dijejaki Adun Selat Klang, Dato’ Abdul Rashid Asari yang menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dr Wan Nik berkata, biarpun BERSATU sudah mendapat kelulusan RoS mengenai pindaan perlembagaan parti itu, namun kuasa dan perintah kekosongan tertakluk kepada keputusan Speaker.

“Kita menjangka isu tersebut tidak mudah selesai dan boleh berpanjangan sehingga BERSATU berjaya mendapat perintah mahkamah.

“Maknanya BERSATU kena mohon perisytiharan kekosongan implikasi kelulusan RoS itu ke mahkamah sekiranya ia tidak dilayan Speaker,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/4/2024

- Advertisement -