
TOKYO: Jepun akan menarik balik penggantungan pembiayaannya kepada agensi pelarian Palestin PBB (UNRWA) ketika badan bantuan itu berusaha untuk mendapatkan semula kepercayaan selepas dakwaan bahawa beberapa kakitangannya terlibat dalam serangan 7 Oktober 2023 ke atas Israel.
Sebelum ini Jepun yang merupakan penderma keenam terbesar kepada agensi itu, dan 15 negara lain menghentikan sementara kira-kira AS$450 juta dalam pembiayaan UNRWA berikutan dakwaan Israel pada Januari, menyebabkan operasi agensi itu di Semenanjung Gaza yang dilanda perang tergugat.
Negara-negara lain termasuk Australia dan Kanada telah memulihkan dana kepada UNRWA, badan bantuan terbesar yang beroperasi di Gaza, yang telah dibom oleh Israel sejak serangan itu, lapor Reuters.
Menteri Luar Jepun, Yoko Kamikawa, yang mengadakan pertemuan dengan Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini di Tokyo pada minggu lalu berkata, peranan agensi itu dalam menangani krisis di Gaza adalah ‘sangat diperlukan’ walaupun ia berfungsi untuk memperbaiki tadbir urus dan mengurus risiko.
“Jepun akan menarik balik sekatan moratorium sumbangan kewangannya kepada UNRWA dan memberikan bantuan sambil memasti dan mengesahkan kesesuaian dana Jepun,’ kata Kamikawa kepada pemberita pada hari ini, Selasa (2 April), sambil menambah bahawa kira-kira AS$35 juta dana yang dirancang pada asalnya, kini sedia untuk diagihkan kepada UNWRA.
Seorang pegawai kanan kementerian luar kemudian memberitahu dalam taklimat media bahawa Jepun tidak dapat mengulas mengenai kebenaran dakwaan Israel terhadap UNRWA sebelum ini, kerana siasatan berterusan oleh Pejabat Perkhidmatan Pengawasan Dalaman PBB.
Terdahulu, UNRWA telah memecat beberapa kakitangan berikutan dakwaan itu, sebelum ia kemudian berkata, beberapa pekerjanya yang dibebaskan ke Gaza daripada tahanan Israel dilaporkan telah ditekan oleh pihak berkuasa negara haram tersebut untuk membuat kenyataan palsu bahawa kakitangan UNWRA telah mengambil bahagian dalam serangan 7 Oktober 2023 itu.
Kajian berasingan semula mengenai aktiviti dan berkecuali UNRWA yang diketuai oleh mantan Menteri Luar Perancis, Catherine Colonna dijangka menerbitkan laporan akhirnya pada akhir bulan ini. – HARAKAHDAILY 2/4/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!