50,000 anak Kelantan pulang beraya guna bas

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) melakukan pemusatan bas catar atau sewaan khas bagi menurunkan penumpang sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

- Advertisement -

Yang Dipertua MPKB-BRI, Mohd Anis Hussein berkata lokasi terbabit sebagai stesen bas sementara iaitu di Jalan Persiaran Tunjong bersebelahan Pasar Raya Besar Mydin dan Terminal Bas Ekspres di Lembah Sireh.

Katanya, peraturan itu berkuat kuasa bermula 4 hingga 17 April ini bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar Kota Bharu.

“Setiap tahun ada banyak bas sewaan membawa pulang anak Kelantan di perantau, jadi kita tidak mahu kehadiran bas terbabit menambahkan kesesakan di kawasan bandar di musim perayaan.

“Bas sewaan khas ditetapkan untuk menurun dan menaikkan penumpang di lokasi bersebelahan Pasar Raya Besar Mydin Tunjong,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Mohd Anis juga berkata pihaknya menerima banyak cadangan lokasi bas sewaan menurunkan penumpang termasuk Dataran Muhammadi, Stadium Sultan Muhammad IV dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) FAMA di Tunjong.

Bagaimanapun, katanya kawasan parkir di Pasar Raya Mydin Tunjong mempunyai kemudahan ruang letak bas yang luas.

Menurutnya juga MPKB-BRI akan bekerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memastikan kelancaran urusan tersebut.

Dijangka lebih 50,000 anak Kelantan di perantauan dari seluruh negara bakal mengunakan perkhidmatan bas ekspres dan bas sewaan untuk pulang ke kampung halaman bermula Jumaat ini. – HARAKAHDAILY 2/4/2024

- Advertisement -