UUM dalami Sistem Gadaian Islam dikendali PKB

- Advertisement -

KOTA BHARU: Universiti Utara Malaysia (UUM) turut berminat mendalami Sistem Gadaian Islam (Ar-Rahn) yang dikendalikan Permodalan Kelantan Berhad (PKB).

- Advertisement -

Pengerusi, Permodalan Kelantan Berhad, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, PKB menyediakan perkhidmatan pembiayaan tunai yang amat mudah dan cepat tanpa riba.

“Ar-Rahn banyak membantu golongan peniaga kecil untuk mendapatkan modal perniagaan segera dan golongan yang terpinggir daripada perbankan perdana,” katanya pada majlis memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) antara PKB dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini semalam.

Pada perjanjian itu Ustaz Ahmad mewakili PKB, manakala UUM diwakili Naib Canselornya Prof Dr Mohd Foad Sakdan.

Ustaz Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Kelantan berkata, kerjasama PKB-UUM diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat memilih perkhidmatan halal yang patuh syariah.

Katanya, kerjasama itu bagi menghasilkan guna tenaga mahir dalam pasaran sebagai persediaan dalam sektor ar-Rahnu di peringkat negara.

Selain itu mendapatkan pengiktirafan lebih tinggi khususnya pelajar yang mengikuti kursus Ar-Rahn Operational Management (AOM) dan Gold Appraisal Training (GAT).

“Kerajaan Kelantan mewujudkan Ar-Rahn untuk membebaskan masyarakat daripada sistem riba yang terdapat dalam sistem gadaian konvensional.

“Kini Ar-Rahn terus berkembang dengan penggunaan kaedah secara digital atau atas talian melalui pembangunan sistem Ar-Rahn Online System (AROS), portal pembayaran atas talian (arrahnPAY).

“Selain itu lelongan secara atas talian (Ar-Rahn Bid) dan aplikasi mudahalih (mobile apps), semuanya secara ‘in-house development’,” ujarnya.

PKB merupakan anak syarikat milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), sekarang memiliki 34 cawangan dan 74 cawangan francais di seluruh Malaysia. – HARAKAHDAILY 1/4/2024

- Advertisement -