Suruhanjaya Gig penting untuk pekerja sektor itu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) digesa mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai pendapatan jam kerja dan hak atas cuti, serta insurans kepada pekerja gig.

- Advertisement -

Senator Datuk Razali Idris berkata, selain itu, KESUMA juga dicadangkan mewujudkan satu akta atau seksyen daripada Suruhanjaya Gig.

“Kerana mengikut situasi sekarang ekonomi gig semakin berkembang pesat, yang mana jumlah pekerja gig telah mencapai 17 peratus mewakili keseluruhan sektor pekerjaan di negara ini,” ujar beliau. 

Datuk Razali menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Sumber Manusia pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dalam jawapannya memberitahu, bahawa sebenarnya banyak perkara-perkara yang telah dilakukan di bawah KESUMA. 

“Sebab itu perancangan yang kita lakukan dalam kajian dan perancangan-perancangan ini kerana penglibatan pekerja gig ini memang benar semakin bertambah telah mencecah sehingga 1.2 juta sebenarnya. 

“Dan yang ini yang kita nak lakukan dan daripada program tersebut kerajaan telah membantu sebanyak 90 peratus bersamaan dengan RM232.80 untuk caruman PERKESO dan RM23.30 hanya dikeluarkan untuk mereka seperti gig ini,” jawab beliau.

Tambahnya, ekonomi gig ini sebenarnya melibatkan begitu ramai dan dalam sektor yang begitu banyak sektor seperti sektor artis, pelakon dan termasuklah penunggang p-hailing dan sebagainya. 

Sebab itu menurutnya semakin hari sudah pasti akan bertambah lebih ramai dan penglibatan KESUMA telah menyumbang sebanyak RM1.991 juta yang telah dibelanjakan untuk mereka ini dari segi caruman PERKESO. 

“Ini adalah merupakan untuk masa depan mereka yang mana kalau berlaku apa-apa kepada mereka ini PERKESO inilah yang akan boleh membantu kembali kepada orang yang bekerja sendiri (OBS) ini,” ujar beliau.

Senator Datuk Razali dalam soalan asal meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan penjelasan Kerajaan yang tidak bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia sekali gus bakal menjejaskan 140 platform ekonomi gig yang beroperasi di negara ini dan lebih 200,000 periuk nasi pekerja ekonomi gig. –  – HARAKAHDAILY 1/4/2024

- Advertisement -