KOTA BHARU: Tindakan kerajaan menjual 50.2 peratus pegangan Ekuinas dalam Icon Offshore dianggap sesuatu tidak kena dalam suasana pasaran lembab sekarang.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dato’ Mohamed Farid berkata, berdasar pasaran semasa, harga saham Icon Offshore berada pada tahap RM0.78 sesaham.
“Ia adalah jauh lebih rendah daripada harga RM4 sesaham yang pernah tercapai pada tahun 2020.
“Seolah-olah ada yang tidak kena dengan transaksi tersebut. Saham Icon Offshore sebenarnya dijual pada harga diskaun berbanding harga pasaran semasa.
“Lebih-lebih lagi penjualan syarikat bumiputra kepada bukan bumiputra. Bank tempatan dikatakan menyediakan pinjaman bagi melangsaikan pembelian tersebut,” katanya yang juga Adun Kok Lanas.
Oleh itu beliau mendesak Ekuinas dan kerajaan menjelaskan sebab sebenarnya mengapa Icon Offshore dijual.
Sebuah akhbar pada 26 Mac lepas melaporkan penjualan 50.2 peratus saham Ekuinas dalam Icon Offshore tidak lebih seperti menyembelih angsa yang bertelur emas.
Icon Offshore asalnya milik bumiputera memberi pulangan lebih RM500 juta semenjak ditubuh lebih 10 tahun lepas.
Mohamed menyifatkan penjualan tersebut tidak lebih daripada tindakan tidak wajar, terburu-terburu dan membelakangi dasar penubuhan Ekuinas.
“Adalah tidak berasas pelaburan yang memberi begitu tinggi pulangan tahun demi tahun dijual pada harga rendah.
“Isunya kenapa Affin Bank mengepalai pinjaman korporat RM2.4 bilion kepada Yinson, pembeli saham Icon Offshore tersebut daripada Ekuinas,” kata beliau.
Menurutnya juga Ekuinas menggalas tugas besar menjaga, membina dan meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera dalam negara.
Malah penubuhan Ekuinas dianggap sebagai penanda aras bagi mengambil alih sebahagian tugas-tugas Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC). – HARAKAHDAILY 1/4/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!