Pesanan untuk wanita sepanjang Ramadan

Rohani (enam dari kanan) di Program Solat Hajat dan Tadarus Perdana Wanita peringkat Kelantan 2024.
- Advertisement -

SETIAP kali Ramadan datang, wanita bergelar ibu adalah orang yang paling sibuk. Walau apa pun latar belakang seorang ibu, sama ada bekerja makan gaji, berniaga mahu pun sebagai pengurus rumah tangga sepenuh masa, tugas di rumah akan berganda ketika bulan suci ini.

Wanita akan merancang segala-galanya untuk bersahur dan berbuka, memilih menu yang bukan saja sedap tetapi berkhasiat untuk keluarga.

- Advertisement -

Apabila Ramadan semakin menemui penghujung, wanita juga yang akan menentukan persiapan menyambut Aidilfitri, memilih pakaian untuk anak-anak, malah suami, warna bebas atau sedondon. Begitu juga kuih dan biskut raya. Jika masih ada ibu bapa, perlu merancang untuk balik kampung.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Kelantan, Rohani Ibrahim berkata, cabaran wanita bergelar ibu semakin sukar berikutan keadaan ekonomi negara yang memberi kesan terhadap poket rakyat.

Katanya, faktor seperti kejatuhan nilai mata wang negara, kenaikan tarif elektrik dan kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) membawa kepada peningkatan harga beberapa barangan keperluan harian, sekali gus meningkatkan perbelanjaan.

Pada masa sama, katanya peningkatan kadar pendapatan lebih rendah menyebabkan cabaran yang bukan sedikit kepada rakyat berpendapatan rendah.

Kedatangan Ramadan serentak dengan sesi baharu persekolahan menyebabkan tanggungjawab ibu bapa meningkat. Sehubungan itu, Rohani menasihat setiap keluarga merancang perbelanjaan sepanjang bulan suci. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas turut berkongsi beberapa tips untuk wanita sepanjang Ramadan, iaitu:

Setiap amalan bergantung kepada niat

Ramadan bukan hanya berpuasa, sebaliknya adalah bulan memperhebatkan ibadah berikutan tawaran hebat yang Allah berikan kepada hamba-Nya. Bagi wanita, jadikan Ramadan untuk melakukan segala aktiviti bernilai di sisi Allah. Oleh itu, niatkan segala kerja kerana Allah.

“Kalau niat nak buat baik, kita sudah dapat pahala. Kalau lakukan kebaikan itu lagi dapat banyak pahala. Sebagai contoh, masak untuk sahur, kejutkan suami dan anak, buat atau beli kuih untuk beri kepada jiran dan kawan-kawan dengan niat kerana Allah. Mulai hari ini, biasakan diri untuk berniat walau sekecil apa pun yang dilakukan,” katanya.

Membuat perancangan

Kebanyakan wanita yang bekerja ketika perjalanan pulang ke rumah, kepala ligat memikirkan menu masakan berbuka puasa atau juadah yang hendak dibeli di bazar Ramadan dan juga barangan basah lain yang perlu dibeli untuk keperluan sahur.

Jika boleh, katanya lebih baik ibu masak sendiri yang sebenarnya boleh dijadikan aktiviti bersama keluarga. Sebagai contoh, melatih anak-anak untuk menolong di dapur dan pada masa sama, mengajar anak mengenai akhlak sebagai muslim.

“Alhamdulillah, kita di Kelantan sejak berpuluh tahun, telah mewartakan waktu kerja pejabat anjal dan dipendekkan satu jam lebih awal bagi memastikan penjawat awam boleh memanfaatkan masa bersama keluarga untuk berbuka dan bertarawih,” katanya.

Bagi yang sibuk, sudah tentu menjadikan bazar Ramadan sebagai destinasi utama untuk mendapatkan juadah berbuka dan bersahur.

“Kelantan adalah ‘syurga makanan’ termasuk ketika Ramadan. Namun dalam membeli juadah, kita perlu bijak berbelanja,” katanya.

Elakkan pembaziran

Rohani menasihat ketika berbelanja, sentiasa ingat golongan yang tidak bernasib baik, termasuklah penderitaan rakyat Palestin di Gaza. Bagi yang dianugerah kemewahan rezeki, manfaatkan Ramadan untuk bersedekah sama ada dengan wang ringgit mahu pun menaja juadah berbuka.

Jaga kebersihan dan keselamatan

Amalan menjaga kebersihan sangat dituntut dalam Islam. Amalkan budaya baharu bermula dengan diri sendiri dan seterusnya ahli keluarga. Ini termasuk membawa bekas makanan dari rumah yang sekali gus dapat mengurangkan penggunaan bekas plastik sekali guna.

Jika ada sampah, pastikan buang dalam tong yang disediakan. Bagi memastikan keselamatan diri, pilih gerai dan peniaga yang mematuhi tahap kebersihan ditetapkan. Walaupun pihak berkuasa memantau tahap kebersihan di bazar Ramadan, paling penting ialah kesedaran diri masing-masing.

Ajar anak-anak mengaji al-Quran dan bertadarus

Ramadan adalah bulan al-Quran. Setiap ayat suci Al-Quran yang dibaca akan digandakan 10 kali pahala untuk setiap satu huruf. Cuba tetapkan masa untuk mengajar anak-anak membaca al-Quran atau lakukan aktiviti bertadarus bersama keluarga. Jika tiada masa dan ada kemampuan, boleh mengambil guru mengajar anak-anak di rumah. Tidaklah masa anak-anak terbuang begitu sahaja.

Ini juga membantu mewujudkan keseimbangan kehidupan anak-anak dan keluarga dengan ilmu akhirat. Cuba penuhkan masa anak-anak ketika Ramadan dengan pelbagai aktiviti berfaedah supaya dapat melatih mereka berpuasa penuh sejak kecil lagi.

Melakukan tugasan rumah sambil berzikir

Ibu boleh berzikir atau mendengar program mengaji di radio atau televisyen sambil melakukan tugasan rumah untuk menghidupkan suasana ibadah di rumah. Amalkan zikir ringkas. – HARAKAHDAILY 1/4/2024

- Advertisement -