Korban meningkat, tiada lagi tempat selamat

Kemusnahan teruk di Gaza akibat serangan kejam Israel.
- Advertisement -

WALAUPUN sudah masuk pertengahan bulan Ramadan, sudah dua minggu umat Islam menjalani ibadat puasa. Namun, serangan tentera rejim Zionis Israel masih belum ada tanda akan reda. Kini, penduduk Palestin yang mencari perlindungan dari utara hingga ke selatan Gaza merasakan tiada lagi tempat selamat.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 23 Mac lalu oleh Kementerian Kesihatan seliaan Hamas di Gaza mencatatkan peningkatan jumlah korban 32,143 orang. Lebih 2,899 anggota keluarga terbunuh dalam serangan bom ketika mangsa berada dalam rumah ketika serangan.

- Advertisement -

Jumlah mangsa yang mengalami kecederaan akibat serangan rejim zionis Israel pula dilaporkan meningkat kepada 74,412 orang. Dari jumlah tersebut, lebih 11,000 orang memerlukan rawatan segera di luar Gaza akibat kekurangan peralatan dan kemudahan hospital.

Pada masa sama, lebih 48 orang anggota keselamatan turut terkorban semasa bertugas. 476 orang terbunuh dari sektor kesihatan termasuk doktor, jururawat dan pembantu rawatan kecemasan, manakala 440 orang tercedera.

Petugas media juga tidak terlepas daripada menjadi korban. Seramai 135 orang wartawan terbunuh di lapangan, 80 orang mengalami kecederaan teruk dan sekurang-kurangnya 2 orang ditahan oleh pihak tentera Israel. Lebih 175 pejabat media yang melaporkan konflik ini dari Gaza telah musnah.

Kementerian Kesihatan juga melaporkan setakat ini, 27 kanak-kanak maut akibat kebuluran dan ketiadaan air berpunca daripada sekatan yang dikenakan oleh rejim Israel.

Kerosakan harta benda awam dan kerugian akibat runtuhan infrastruktur dan bangunan kediaman dianggarkan mencecah AS$10 bilion. Ini termasuk 356,900 kediaman yang rosak sebahagian, manakala lebih 112,000 rumah ranap sama sekali.

Sepanjang perang ini meletus, 168 bangunan pentadbiran dan fasiliti awam musnah. Sebanyak 432 sekolah dan pusat pengajian tinggi turut mengalami kerosakan, manakala lebih 100 buah yang lain ranap sama sekali.

Dilaporkan lebih 2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal atau terpaksa meninggalkan rumah kerana mencari perlindungan. Laporan itu juga mencatatkan kerosakan rumah ibadat membabitkan lebih 220 buah masjid musnah dan 3 gereja mengalami kerosakan teruk. – HARAKAHDAILY 1/4/2024

- Advertisement -