MOSCOW: Media kerajaan melaporkan bahawa Rusia menyenaraikan pergerakan LGBT sebagai pertubuhan pelampau dan pengganas.
Tindakan itu selaras dengan keputusan Mahkamah Agung Rusia pada November lalu bahawa aktivis LGBT harus dikategorikan sebagai pelampau, langkah yang golongan gay dan transgender dakwa akan membawa kepada penangkapan dan pendakwaan.
Senarai itu dikawal selia oleh agensi bernama Rosfinmonitoring yang mempunyai kuasa untuk membekukan akaun bank lebih 14,000 orang dan entiti yang ditetapkan sebagai pelampau dan pengganas. Mereka termasuk Al-Qaeda hingga gergasi teknologi Amerika Syarikat, Meta.
Menurut agensi berita RIA, penyenaraian baharu itu merujuk kepada pergerakan sosial LGBT antarabangsa dan unit strukturnya.
Sebagai sebahagian daripada peralihan di bawah Presiden Vladimir Putin ke arah yang digambarkannya sebagai nilai kekeluargaan berbeza dengan Barat, Rusia memperhebatkan sekatan sejak sedekad lalu terhadap ekspresi orientasi seksual dan identiti jantina.
Antara langkah lain yang dibuat ialah meluluskan undang-undang yang melarang promosi hubungan seksual “bukan tradisional” dan mengharamkan perubahan undang-undang atau perubatan jantina. -HARAKAHDAILY 30/3/2024