Jenayah kebencian berasaskan agama di Perancis meningkat

Rakyat negara Afrika jadi sasaran perkauman di Perancis.
- Advertisement -

DATA statistik kerajaan menunjukkan jenayah perkauman, xenofobia dan kebencian berasaskan agama melonjak 32 peratus di Perancis tahun lepas berikutan serangan Israel ke atas Gaza.

Mengikut Perkhidmatan Perangkaan Kementerian Dalam Negeri (SSMSI), polis merekodkan 8,500 jenayah dan salah laku kerana faktor etnik, kewarganegaraan, bangsa atau agama mangsa sepanjang 2023.

- Advertisement -

Pakar perangkaan menekankan kenaikan ketara menjelang akhir tahun – bertepatan dengan tempoh selepas operasi Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel dan kempen pengeboman kejam Israel di Gaza.

Terdapat dua kali lebih banyak jenayah dan salah laku yang direkodkan pada Oktober-Disember, berbanding tempoh yang sama pada 2022.

“Peningkatan itu boleh dilihat mulai Oktober dengan tahap kesalahan kekal pada tahap tinggi yang sama pada November sebelum menurun pada Disember,” kata laporan itu.

Bagaimanapun, SSMSI tidak memperincikan statistik itu mengikut agama mangsa dengan kebanyakan tindakan perkauman, xenofobia atau anti-agama adalah provokasi, penghinaan dan fitnah..

Laporan itu juga menyatakan bahawa lelaki, mereka yang berumur antara 25 dan 54 tahun serta rakyat negara Afrika menjadi sasaran utama, namun hanya empat peratus daripada mangsa membuat laporan kepada pihak berkuasa. -HARAKAHDAILY 30/3/2024

- Advertisement -