Jabatan Amal kunjung hormat Angkatan Pertahanan Awam

- Advertisement -


KAJANG: Jabatan Amal Malaysia (JAM) yang diketuai oleh Ketua Pengarah, Ustaz Rosazli Md Yasin telah mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Aminurrahim Mohamed, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertempat di Ibu Pejabat Pertahanan Awam.

Kunjungan hormat tersebut semalam, bertujuan untuk memberi gambaran serta pengenalan awal mengenai peranan dan sumbangan oleh JAM yang boleh diberikan bagi membantu pihak APM dalam mencapai beberapa objektif.

- Advertisement -

Menurut Ketua Pengarah JAM, pertemuan yang diadakan ini menjadi satu manifestasi terhadap apa yang telah dirancang oleh pimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), ia juga adalah Langkah pertama pihak JAM untuk membina kerjasama yang baik dengan agensi-agensi kerajaan.

“Persefahaman yang dibina ini adalah atas dasar ingin membantu masyarakat dalam persediaan sebelum atau ketika berhadapan dengan bencana tanpa mengira fahaman agama, bangsa mahupun idealogi politik,” katanya.

Beliau berharap kerjasama yang bakal dibina akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia terutama dalam menyampaikan ilmu asas menyelamat.

Satu sesi taklimat pengenalan JAM telah diadakan dan disampaikan oleh Shehdi Hazrik Shamsudin, Timbalan Ketua Pengarah JAM. Turut hadir, TKP Shahril, TKP Najid Shafee dan Pengarah JAM Negeri Selangor.

Sementara, pihak APM dihadiri Tuan Kol (PA) Fazlisyah Muslim, Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan dan PPj (PA) Ts Dr Mohamad Fazli Sardi, Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan.

JAM merupakan sebuah pasukan kebajikan sukarela beruniform yang dianggotai oleh ahli pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Jabatan ini telah ditubuhkan pada tahun 1991 yang selaras dengan keperluan dan kehendak anak muda masa kini untuk melibatkan diri dalam masyarakat melalui aktiviti-aktiviti kesukarelawan dan kebajikan.

JAM atau lebih dikenali sebagai Jabatan Amal juga pernah tular di media sosial apabila dilihat sangat pantas dan cekap dalam melaksanakan tugas-tugas menyelamat serta kebajikan terutama ketika berlaku bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.

Turut digelar sebagai ‘Semut Merah’, JAM yang beruniform berwarna merah gelap ini juga menjadi sebutan masyarakat apabila menonjolkan anak-anak muda yang mempunyai ciri-ciri keagamaan yang tinggi walau berada dalam keadaan darurat semasa menjalankan tugas.

Kini, keanggotaan JAM menjadi satu keunikan apabila ia disertai oleh golongan profesional dari pelbagai bidang, antaranya perubatan, kejuruteraan, perundangan mahupun perniagaan dan penyertaan serta perkhidmatan mereka adalah tanpa sebarang upah atau imbalan. -HARAKAHDAILY 30/3/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!