Sukan Komanwel: Ekonomi terhimpit, utamakan rakyat

Afnan Hamimi Dato' Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan digesa mengutamakan perbelanjaan kepada kepentingan rakyat dalam keadaan ekonomi terhimpit berbanding meneruskan penganjuran Sukan Komanwel (SUKOM) 2026.

Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, hal ini kerana rekod penganjuran SUKOM 98 dahulu kerugian sehingga RM11.6 juta serta 23 kes tuntutan mahkamah dan 15 penghakiman semuanya berkaitan isu bayaran hutang dan dijelaskan hutang.

- Advertisement -

“Birmingham muflis selepas jadi tuan rumah. Pengalaman Birmingham (diharapkan) akan dijadikan panduan. Saya harap dia jadi panduan untuk Kabinet buat keputusan esok. Dan saya juga bersetuju supaya YB Menteri membuat unjuran implikasi kewangan seperti yang telah disebutkan tadi ada badan audit dan sebagainya.

“Dan saya sendiri secara mewakili rakyat Malaysia ini kalaulah pun kerajaan perlu membelanjakan kos walaupun dapat geran tapi kita akan ada implikasi kos-kos lain.

“Kalau pun kos yang sebesar ini untuk buat SUKOM, Sukan Komanwel pada dua tahun lagi saya berpandangan sama seperti YB Menteri supaya lebih baik perbelanjaan itu diutamakan untuk kepentingan rakyat,” ujar beliau yang juga Ketua Pemuda PAS.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Belia dan Sukan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen di sini sebentar tadi.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam jawapannya memberitahu, bahawa beliau berterima kasih kerana YB Alor Setar bersetuju dengan jawapan beliau.

Ustaz Afnan Hamimi dalam soalan asalnya meminta dinyatakan pendirian Kerajaan terhadap tawaran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 ekoran Victoria, Australia menarik diri daripada menjadi tuan rumah tahun lalu.

Australia bertindak demikian berikutan peningkatan kos penganjuran daripada AUD2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (RM21.78 bilion) dengan mengambil kira keadaan ekonomi negara semasa dan kebajikan rakyat. – HARAKAHDAILY 21/3/2024

- Advertisement -