Polis gagal serah senjata, seragam isu serius

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan untuk meningkatkan denda maksimum dari RM100 kepada RM5,000 ke atas anggota polis yang gagal menyerahkan peralatan termasuk senjata dan juga pakaian seragam disifatkan drastik.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, (PN-Kubang Kerian) berkata, dengan peningkatan kadar denda itu juga dilihat seolah-olah kegagalan menyerahkan peralatan itu berada pada tahap serius.

- Advertisement -

“Justeru, saya minta pihak kerajaan menyatakan data berapa banyak kes anggota yang telah tamat berkhidmat, namun tidak menyerahkan peralatan termasuk senjata, pakaian dan peralatan yang sepatutnya diserahkan.

“Malah, kita juga akui ada pihak yang menyamar mengakui sebagai anggota Polis dan sebagainya mungkin kerana pakaian seragam ini tidak diserahkan,”katanya semasa membahas Rang Undang-undang Polis (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Kemuka beliau, satu kawalan perlu dilakukan supaya tidak berlaku kes kehilangan senjata, sekali gus untuk mengelak dari sesuatu perkara yang menyalahi undang-undang seperti menyamar sebagai anggota dan kes peras ugut berlaku.

“Oleh itu, kita juga meminta agar kerajaan menyatakan mengenai kes kehilangan senjata dan kalau boleh kita dapatkan data supaya ianya dapat dilihat dengan jelas selain mengatasi perkara ini bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY¬†21/3/2024

- Advertisement -