Jaga obligasi kerahsiaan demi kepentingan rakyat

Rushdan Rusmi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memahami kepentingan untuk menjaga obligasi kerahsiaan sesuatu mesyuarat lembaga ataupun mana-mana jawatankuasa demi kepentingan rakyat.

Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) meminta kerajaan menyatakan sejauh mana pindaan yang dibuat tersebut dapat mengimbangi antara kerahsiaan dan keperluan pemberi maklumat untuk mendedahkan maklumat dengan bertanggungjawab.

- Advertisement -

Beliau berkata, perkara ini perlu demi mengawal selia risiko ketirisan dan salah laku yang berlaku.

“Merujuk kepada ucapan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023, selama ini ada orang berasa curiga, takut dan menerima tekanan apabila ingin memberi maklumat.

“Oleh itu, sejauh mana atau adakah perkara ini mampu menjamin keselamatan dan imuniti kepada pemberi maklumat.

“Seterusnya, sejauh mana ia tidak menjejaskan keyakinan pemberi maklumat mendedahkan sebarang perbuatan rasuah dan salah laku yang berlaku terutama dalam kalangan ahli lembaga pengarah dan ahli jawatankuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) (Pemerbadanan) (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata, perkara ini sangat penting kerana LLM berkait rapat dengan kepentingan rakyat.

“Andai kata salah laku ini benar-benar berlaku dan pemberi maklumat tidak berani untuk tampil, maka secara tidak langsung ia akan menjejaskan nasib rakyat yang turut menjadi penyumbang kepada hasil yang diperolehi oleh lembaga ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/3/2024

- Advertisement -