Pesawat FA-50 untuk latihan dan tempur ringan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan perkembangan perolehan 18 buah pesawat ringan FA-50 buatan Korea Selatan bagi kegunaan dan latihan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) dalam Dewan Rakyat hari ini turut memuji keputusan kerajaan mendapatkan teknologi dari Korea Aerospace Industries (KAI) itu bagi memenuhi keperluan pertahanan negara.

- Advertisement -

“Minta Menteri Pertahanan menyatakan jangkaan perolehan status terkini pembelian 18 pesawat Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) FA-50 untuk kegunaan TUDM,” soalnya.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dalam jawapannya berkata, pembelian 18 buah pesawat ringan itu bernilai RM3.8 bilion dan proses itu dilaksanakan tender terbuka tanpa syarikat perantara.

Beliau berkata, perolehan tersebut dibuat berpandukan kepada perancangan tentera udara sendiri menerusi Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau RMAF Capability Plan 2055 (CAP55).

TUDM katanya, mensasarkan untuk mendapatkan pesawat yang mempunyai platform tunggal, dua tempat duduk dan mampu melaksanakan tugas secara dwi-fungsi iaitu pesawat latihan dan pesawat tempur ringan.

“Pesawat berkemampuan melaksanakan tugas dwi-fungsi iaitu sebagai pesawat latihan lanjutan untuk latihan bakal juruterbang pejuang, dan juga sebagai pesawat tempur ringan bagi keperluan operasi.

“Berdasarkan perancangan pesawat ini akan digunapakai sehingga tahun 2045 serta akan melalui ‘mid-life upgrade program’ iaitu bagi memastikan ianya kekal beroperasi sehingga tahun 2055,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -