Peliter@TTI ketengahkan konsep pelita raya pesisir air

Replika yang dihasilkan Pejabat Daerah Kuala Terengganu dengan keunikan cahaya pelita digambarkan melalui ukiran bentuk rumah kampung, bot nelayan, masjid, wau dan pokok kelapa.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Penganjuran Program Pelita Raya Terengganu (Peliter@TTI) 2024 membawa sedikit kelainan apabila menjadikan Tasik Pahlawan, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini sebagai lokasi baharu.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata, program yang berlangsung selama lima hari bermula 17 hingga 23 Mac bertemakan ‘Tradisi Diwarisi, Comeynya Peliter’ itu mengetengahkan konsep pelita raya pesisir rir.

Jelas beliau, konsep yang dibawakan itu mengambil kira penjenamaan Kuala Terengganu Bandaraya Pesisir Air yang merupakan salah satu kluster pelancongan negeri.

Beliau berkata demikian pada sidang media dan preview Persiapan Program Peliter@TTI (Pelita Raya Terengganu) di Tasik Pahlawan, TTI di sini, malam tadi.

“Kalau kita lihat semua peserta berada di sekeliling tasik pahlawan di Taman Tamadun Islam, selain dari komponen tersebut, kita lihat adanya Masjid Kristal, monumen Islam, jadi bila kita buat program ini ia secara langsung satu promosi kepada TTI.

“Kita berharap selepas kita adakan pertandingan Peliter@TTI ini ia akan menambahkan lagi kehadiran pengunjung dan pelancong di TTI yang merupakan satu produk berkonsepkan Islam di negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran kali ini turut melibatkan penyertaan daripada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

“(Mereka) tak masuk pertandingan sekadar menyertai untuk memeriahkan suasana. Penambahan ini akan menambahkan lagi persaingan untuk kita bertanding di dalam program peliter raya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya berhubung pertandingan yang diadakan, rekaan replika dan dekorasi peserta bergantung kepada kreativiti masing-masing atau berdasarkan produk daerah.

“Disyaratkan perlu menggunakan lebih 150 pelita sumbu, menggunakan barangan terpakai seperti tempurung, tin minuman, buluh dan botol manakala keunikan pakaian, busana atau mengenakan pakaian bertema adalah satu bonus,” ujarnya.

Kata Ridzwan, bagi menarik minat pengunjung, penganjur juga menganjurkan Pertandingan Fotografi dan Pertandingan Video Tik Tok Peliter@TTI 2024 yang terbuka kepada semua pengunjung.

Menurutnya lagi, mereka mahi menyertai pertandingn hanya perlu memuat naik gambar atau video di laman sosial Facebook atau TikTok masing-masing bersama #PeliterTTI2024, #BeautifulTerengganuMalaysia dan #TerengganuDokRilek.

Katanya, bagi pertandingan pelita, sebanyak RM11,500 wang tunai secara keseluruhan ditawarkan di mana hadiah pertama mendapat wang tunai RM5,000 dengan plak, kedua sebanyak RM3,000 dan plak, manakala hadiah ketiga RM1,000 beserta plak dan saguhati kepada tujuh pemenang sebanyak RM500 dan plak.

“Manakala bagi pertandingan di media sosial pula, sebanyak RM2,500 (secara keseluruhan) untuk dua kategori iaitu di Facebook (pertandingan fotografi) dan video TikTok di mana hadiah pertama adalah RM500 untuk dua kategori, hadiah kedua RM300 untuk dua kategori manakala hadiah ketiga RM100 untuk dua kategori dan saguhati RM50 untuk tujuh pemenang untuk dua kategori,” katanya.

Beliau berkata, bagi program kali ini disasarkan seramai 40,000 pengunjung akan hadir pada Peliter@TTI 2024.

Tambahnya, jumlah itu diyakini mampu dicapai berikutan jumlah kehadiran pengunjung pada program sama tahun lalu berjaya mencatatkan kehadiran 30,400 pengunjung manakala 18,824 (2022) dan 5,876 (2021).

“Jadi untuk tahun ini berdasarkan beberapa faktor dari segi penyertaan dan lokasi yang ada ini dengan kemudahan parking, laluan masuk yang lebih mudah, lebih menarik minat kepada pengunjung untuk datang ke TTI bagi menyaksikan pameran pelita, selain dari pelita ada beberapa aktiviti jualan, persembahan dan sebagainya.

“Bayaran masuk untuk dewasa hanya RM1 untuk (13 tahun dan ke atas) manakala masuk percuma bagi orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak 12 tahun dan ke bawah,” katanya.

Ridzwan berkata, program kali ini sedikit berbeza dari tahun-tahun sebelum ini kerana ia diawalkan sebagai langkah menghormati hari-hari terakhir Ramadan.

“Kita mengambil kira rungutan dan sensitiviti bahawa 10 hari sebelum sebelum raya orang mahu menumpukan kepada amal ibadah pada hari terakhir Ramadan untuk kita mendapatkan malam Lailatul Qadar, jadi kita mengambil kira perkara tersebut maka ia diadakan lebih awal,” katanya.

Menurut beliau, majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah Peliter@TTI 2024 akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris pada 23 Mac ini.

Katanya, majlis perasmian penutup diadakan pada hari Sabtu, jam 9.45 malam manakala walkabout bersama VIP akan diadakan pada 19 hingga 22 Mac jam 10 malam.

Ujarnya, orang ramai boleh mendapatkan perkembangan aktiviti-aktiviti menarik pelancongan negeri menerusi laman web rasmi media sosial seperti Facebook, Youtube, Instagram, Wechat, Weibo dan Telegram dengan nama BEAUTIFUL TERENGGANU MALAYSIA, dan ikuti Twitter di @trgtourism. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -