Umno pertahan kepentingan individu bukan survival Melayu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak wajar meletak punca Muafakat Nasional (MN) gagal dipertahan terhadap pihak lain kerana sejarah mencatat Presiden Umno itu sendiri menjadi faktor.

- Advertisement -

Kronologi kegagalan MN sudah banyak didedahkan bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa, dan ia tidak dapat dinafikan lagi.

Pemerhati politik dari sebuah universiti awam tempatan Dr Zulkeflee Yaacob berkata, Ahmad Zahid tidak boleh meletak kegagalan MN kerana pihak lain.

Katanya, apa yang didakwa Presiden Umno kegagalan MN berpunca daripada PAS suatu tuduhan separuh masak.

“Lagipun Umno yang diterajui pemimpin sekarang tiada lagi jiwa Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang sering mengepalai isu dan survival bangsa suatu ketika dahulu.

“Umno wajar berasa kehilangan tampuk di atas kealpaan agenda Melayu Islam sejak merdeka malah agak serius pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15,” katanya di sini.

Pada Sabtu lepas, ketika menghadiri Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Masjid Batang Merbau, Tanah Merah, Zahid dilapor menolak cadangan untuk menghidupkan semula MN.

Menurutnya juga Umno tidak pernah meruntuhkan MN dan penyatuan ummah, sebaliknya PAS yang berbuat demikian.

Sebelum ini Annuar mendakwa kepimpinan Umno memecahkan-belahkan kerjasama PAS dengan Umno yang dibina menerusi MN semata-mata mahu membuat jajaran politik yang baharu.

Dr Zulkeflee yang juga Penasihat Majlis Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kelantan berkata, Umno sekarang seumpama ayam sayur yang hanya mempertahan berkepentingan individu berbanding survival umat Melayu Islam.

Kata beliau pemimpin Umno banyak membisu terhadap plot bersiri penghinaan terhadap Islam dan orang Melayu yang diatur pihak tertentu. – HARAKAHDAILY 18/3/2024

- Advertisement -