Isu stokin kalimah Allah keruhkan perpaduan kaum

Datuk Razali Idris
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan penjualan stokin berjenama MiranoSock yang tertera kalimah Allah di rangkaian serbaneka KK Supermart adalah disifatkan sebagai pengkhianatan kepada umat Islam di negara ini.

Senator Datuk Razali Idris berkata, tindakan itu akan mengeruhkan hubungan perpaduan kaum yang sedia wujud di negara ini sejak sekian lama.

- Advertisement -

“Apakah tindakan kerajaan kepada pasar raya KK Mart yang telah mengeruhkan hubungan antara kita apabila menjual stokin yang bertulis kalimat Allah kerana ia adalah satu pengkhianatan kepada umat Islam,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau membuat soalan tambahan itu kepada Kementerian Perpaduan Negara ketika menjawab soalan asal dari Senator Dato’ Dr Nelson Renganathan berkaitan program khas anjuran kementerian bagi mengukuhkan semangat perpaduan kaum di Semenanjung Malaysia.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami berkata, pihaknya meminta setiap rakyat agar menghormat semua agama yang ada dalam negara.

“Menyita barang dan mengambil tindakan yang melibatkan agama Islam, adalah tertakluk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Di Kementerian kita, kita sentiasa ingin memupuk semangat menghormat agama, jadi sekiranya ada sesuatu perkara seperti ini berlaku, kita akan mungkin menghubungi mereka supaya mereka tidak mengulangi perkara seperti itu.

“Tetapi seruan kita atau permintaan kita adalah semua rakyat di Malaysia supaya saling menghormat agama semua pihak,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/3/2024