KUALA LUMPUR: Konsep Rahmah perlu dikaji dalam pengurusan hutang negara termasuk ke atas individu, selain kerajaan dicadang memperkenalkan perjanjian tolong-menolong antara pemberi dan peminjam.
Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, ini berikutan individu berusia 35 hingga 44 tahun dicatatkan antara tertinggi disenaikan sebagai muflis disebabkan beberapa faktor melibatkan hutang isi rumah.
“Dalam Parlimen tahun lepas, kita didedahkan dengan individu yang berusia 35 hingga 44 tahun paling ramai muflis. Maknanya mereka berhutang dan puncanya adalah kerana ada pinjaman peribadi, pemberi pinjam wang berlesen dan tidak berlesen dan juga pinjam individu.
“Terdapat dua aspek orang berhutang iaitu mereka perlu sebab dia terdesak dan ada juga kerana gaya hidup dan yang memberi hutang mereka nak keuntungan, justeru apakah usaha serius kerajaan untuk atasi kedua dua pihak ini.
“Setujukah pihak kerajaan sekiranya konsep Rahmah dikaji dalam pengurusan hutang negara termasuk individu dan memperkenalkan perjanjian saling tolong menolong antara pemberi dan peminjam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Kewangan dari soalan asal berkaitan langkah bagi mengurangkan peratusan hutang isu rumah dalam negara pada Sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, faktor pengumpulan harta merangkumi pinjaman perumahan, pembelian harta bukan kediaman serta pembelian sekuriti antara menjadi sebab berlaku peningkatan kepada jumlah hutang isi rumah.
“Kerajaan juga sedar tentang risiko hutang isi rumah yang tinggi dan telah mengambil pendekatan dalam menangani peningkatan hutang isi rumah,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/3/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!