KUALA LUMPUR: Kuasa yang diperuntukkan kepada Perdana Menteri untuk memberi atau menarik imuniti kepada negara asing haruslah dengan persetujuan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, ia sebagai mekanisme semak dan imbang ke atas kedudukan dan kuasa Perdana Menteri dalam memberi dan menarik imuniti yang ditetapkan itu.
Menurut beliau, ia berkaitan dengan Fasal 31, 32, 33 dalam Rang Undang-undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing yang dibentang oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Azalina Othman Said di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah beliau, dalam Rang Undang-undang itu, kedudukan Perdana Menteri yang boleh melalui perintah dalam warta, mengecualikan mana-mana negara asing daripada mana-mana peruntukan akta itu tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan yang difikirkannya perlu.
“Maknanya kita lihat di sini Perdana Menteri mempunyai kuasa yang besar untuk memberi dan menarik kekebalan kepada mana-mana negara asing ataupun aktor-aktor yang dalam itu untuk diberi pengecualian yang saya sebutkan tadi.
“Jadi kalau Perdana Menteri itu orang yang baik, tidak kena ugutan, saya rasa tidak masalah. Tapi kalau Perdana Menteri tu orang yang ‘compromised’ dari segi akhlaknya, dari segi integritinya, maka kita khuatir ianya boleh dijadikan alat jual beli untuk menggadaikan kedaulatan negara,” ujarnya.
Kerana itu, beliau mengesyorkan agar diletakkan dalam takrif itu dalam frasa tersebut perlulah mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong sebagai semak dan imbang. – HARAKAHDAILY 18/3/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!