Mangsa Holocaust tuntut gencatan senjata Gaza

Marione Ingram memegang poster membantah kekejaman Israel.
- Advertisement -

WASHINGTON: Aktivis Yahudi Jerman dan mangsa holocaust yang terselamat, Marione Ingram, 88, melahirkan kebimbangannya tentang situasi di Gaza, menggambarkan persamaan antara kenangan zaman kanak-kanaknya dan serangan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Beliau yang melakukan bantahan di luar Rumah Putih di sini, menggesa gencatan senjata di Gaza dan berpandangan serangan Israel perlu segera dihentikan.

- Advertisement -

Walaupun meluahkan rasa sedih bahawa 1,200 orang terbunuh dalam serangan Hamas di Israel pada Oktober lalu, dia bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres bahawa serangan itu “tidak berlaku dalam ruang kosong.”

Pada Oktober lalu, Guterres berkata rakyat Palestin telah melalui penderitaan selama 56 tahun di bawah pendudukan haram Israel.

“Saya telah melalui apa yang dialami oleh kanak-kanak di Gaza sekarang,” katanya yang terselamat dari holocaust, sambil menambah, “apabila melihat apa yang berlaku di Gaza, ia mempunyai persamaan dengan kehidupan saya sebagai seorang kanak-kanak.”

Dia masih ingat bahawa orang Yahudi dilarang memasuki tempat perlindungan di Hamburg, Jerman, tempat dia dilahirkan dan dibesarkan sehingga berumur 14 tahun, ketika Amerika Syarikat dan England mengebom kawasan awam Hamburg pada masa itu.

Ingram juga percaya bahawa serangan Israel ke atas Gaza akan menjadi seperti `boomerang’ apabila simpati terhadap Yahudi Israel semakin berkurangan.

“Saya fikir ia sudah berlaku,” katanya sambil menambah, “Ia terbukti berdasarkan apa yang kerajaan Israel lakukan. Ini bukan tentang mempertahankan diri. Ini mengenai rampasan tanah. Mereka mahu Gaza, mereka mahu Tebing Barat. Mereka mahu menyingkirkan setiap rakyat Palestin di kawasan itu.”– HARAKAHDAILY 15/3/2024

- Advertisement -