Bahaya apabila ujub menguasai diri

Ujub boleh menyebabkan seseorang itu berasa sombong, memandang rendah orang lain dan hilang rasa rendah diri. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

UJUB merupakan antara sifat buruk yang perlu dihindari oleh setiap mukmin.

Sifat ujub boleh menyebabkan seseorang itu berasa sombong, memandang rendah orang lain dan hilang rasa rendah diri. Sebagai umat Islam, kita perlu sedar akan bahaya ujub ini dan cuba untuk mengelakkannya.

Sifat ujub juga merupakan penyakit hati yang berbahaya dan sering kali tidak disedari oleh seseorang. Ulama mengatakan bahawa penyakit ujub ini lebih tersembunyi daripada riya’.

- Advertisement -

Sebab itulah Nabi Muhammad SAW bersabda:

ثَلَاثٌ مُهْلِكَاتٌ شُحٌّ مُطَاعٌ وَهَوًى مُتَّبَعٌ وَإِعْجَابُ الْمَرْءِ بِنَفْسِهِ
“Ada tiga perkara yang membinasakan, iaitu sifat kedekut yang ditaati, keinginan nafsu yang diikuti dan seseorang yang sombong dengan diri sendiri (ujub).” (HR At Tabrani dan al-Baihaqi)

Seseorang yang berasa sombong akan merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain.

Mereka akan merendahkan orang lain, merasakan dirinya lebih mulia dan tidak bersedia untuk menerima pandangan atau teguran orang lain.

Ini adalah satu sifat yang jelas dilarang dalam Islam kerana bertentangan dengan nilai kesederhanaan dan rendah diri.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Jika sekiranya kamu tidak berdosa, aku lebih takut terhadap sesuatu yang lebih besar daripadanya menimpa kamu, iaitu ujub, iaitu ujub (Nabi SAW mengulanginya dua kali).” (HR al-Bazzar)

Ketika seseorang berasa tidak berbuat dosa dan sentiasa melakukan amal soleh, maka sangat mudah baginya untuk terjerumus dalam sikap ujub.

Dia terlalu yakin dengan diri sendiri, tidak pernah bersedia untuk memperbaiki diri dan berasa dirinya sempurna tanpa cacat cela.

Ini tidak sepatutnya berlaku kepada seorang mukmin kerana seorang mukmin itu perlu sentiasa kembali kepada Allah SWT dan sedar akan kelemahan diri sendiri.

Ada beberapa ciri-ciri orang yang bersikap ujub yang boleh dikenali, antaranya:

Pertama, bangga dengan amal solehnya kerana berasa telah melakukan suatu amal yang sangat besar.

Ini adalah satu tafsiran dari firman Allah SWT:


وَلَا تَمۡنُن تَسۡتَكۡثِرُ ٦
“Dan jangan kau memberi (sesuatu dengan tujuan) untuk mendapatkan (balasan) yang lebih banyak.”
(Surah Al-Muddattsir: 6)

Imam Al-Hasan Al-Basri rahimahullah berkata, maksud ayat tersebut adalah janganlah engkau berasa berjasa dengan amal solehmu sehingga engkau menganggap amal soleh tersebut adalah besar. Setiap apa pun amal yang kita lakukan dan seberapa hebat pun ia, jangan berasa telah melakukan amal yang sangat besar, kerana sebenarnya kita tidak tahu apakah amal tersebut diterima oleh Allah atau tidak.

Kedua, gemar mencela dan merendahkan orang lain kerana berasa lebih hebat dari orang tersebut.

Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٞ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُواْ خَيۡرٗا مِّنۡهُمۡ وَلَا نِسَآءٞ مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيۡرٗا مِّنۡهُنَّۖ وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَلَا تَنَابَزُواْ بِٱلۡأَلۡقَٰبِۖ بِئۡسَ ٱلِٱسۡمُ ٱلۡفُسُوقُ بَعۡدَ ٱلۡإِيمَٰنِۚ وَمَن لَّمۡ يَتُبۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ ١١
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mencemuh (merendah-rendahkan) kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka dicemuh (yang direndah-rendahkan) itu lebih baik daripada mereka (yang mencemuh) dan jangan pula wanita-wanita mencemuh (merendah-rendahkan) wanita lain (kerana) boleh jadi wanita dicemuh (yang direndah-rendahkan) itu lebih baik daripada wanita (yang mencemuh). Janganlah kamu saling mencela dan saling memanggil dengan julukan yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) fasik setelah beriman. Siapa yang tidak bertaubat, mereka itulah orang-orang zalim.”
(Surah Al-Hujurat: 11)

Ketiga, meremehkan pekerjaan dan usaha orang lain.

Baginya hanya dirinya sahaja yang betul, apa yang orang lain buat semuanya tidak benar dan salah.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
“Kesombongan itu adalah menolak dan meremehkan kebenaran manusia.”
(HR Muslim 91)

Keempat, suka memuji diri sendiri.

Secara tidak sedar, kadangkala kita terjerumus dalam perkara ini. Terkadang, dengan amal soleh yang kita lakukan, kita pun memuji diri kita atas amalan tersebut.

Padahal Allah telah berfirman memperingatkan,

فَلَا تُزَكُّوٓاْ أَنفُسَكُمۡۖ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَنِ ٱتَّقَىٰٓ ٣٢
“Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah An-Najm: 32)

Kelima, berasa dirinya hebat, sehingga berasa dirinya yang paling benar dan tidak mahu menerima teguran, kritikan, atau pun nasihat dari orang lain terhadapnya.

Inilah beberapa ciri-ciri atau tanda seseorang itu terkena penyakit ujub. Jika kita merasakan ciri-ciri tersebut ada pada diri kita, maka bersegeralah bertaubat dan membuang jauh sikap ujub tersebut.

Mari kita amati pesanan Imam Ibnul Qayyim rahimahullah,

“Ada orang yang masuk syurga kerana dosa dan ada orang yang masuk neraka kerana amal solehnya. Ini adalah kerana orang yang melakukan dosa selalu berasa bersalah, berasa hina, dan rendah di hadapan Allah, kemudian dia bertaubat. Dia selalu mengingati dosanya dan setiap kali dia teringat, maka dia kembali bertaubat hingga akhirnya darjatnya semakin tinggi di sisi Allah. Adapun orang yang beramal soleh tetapi masuk neraka kerana dia berasa ujub. Dia selalu beramal soleh dengan perasaan sombong, berasa paling mulia dan merendahkan orang lain sehingga akhirnya dia dimasukkan ke dalam neraka Jahannam.” (Madarij as-Salikin 1/307)

Oleh itu, adalah penting bagi setiap mukmin untuk mengelakkan sifat ujub dalam diri.

Sebaliknya, kita perlu memupuk sifat tawaduk, rasa rendah diri, dan tidak memandang rendah kepada orang lain.

Kita perlu sentiasa mengingatkan diri bahawa segala kelebihan yang kita miliki adalah anugerah daripada Allah, seharusnya kita bersyukur dan menggunakan kelebihan tersebut untuk kebaikan diri dan orang lain. – HARAKAHDAILY 15/3/2024

- Advertisement -