Beri insentif tarik minat anak muda menoreh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi dicadang memberi insentif bagi memberi galakan kepada golongan muda yang tiada pekerjaan supaya berminat menjadi penoreh getah.

Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) berkata, antara insentif yang boleh diberikan adalah tapak rumah bagi memberikan mereka fokus kepada kebun diusahakan.

- Advertisement -

“Kemudian mereka (golongan muda) kadang-kadang terpaksa mengambil upah daripada bukan kebun dia, kena ambil upah. Mungkin itu juga kena ambil perhatian sebab mereka minat sebab tak ada kerja lain.

“Tapi di sebalik itu, upah yang dapat itu bahagi dua, dia dapat harga getah jual kena bahagi dua dengan tuan,” ujar beliau ketika mencelah Menteri Perladangan dan Komoditi semasa sesi Jawapan oleh YB Menteri-menteri ke atas Perbahasan Titah Diraja di sini sebentar tadi.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, bahawa beliau bersetuju dengan cadangan pemberian insentif rumah tersebut, tetapi syarikat-syarikat besar seperti ladang kelapa sawit yang terlibat sukar memberikannya jika sekadar 3 hektar.

“Sebab itu saya cakap kalau kita boleh consolidated (menggabungkan) pekebun-pekebun kecil ni yang memang dah tak toreh dah. Dia langsung tak dapat apa. Jadi kalau kita boleh bawa pemain-pemain (industri getah) ni datang jumpa mereka ni, satukan mereka jadi dia akan dapat juga hasilnya.

“Kalau dia tidak ada orang yang nak menoreh, syarikat-syarikat ini akan bawa penoreh-penoreh dan digaji penoreh-penoreh ini macam mana kita gajikan pekebun-pekebun kelapa sawit ini.

“Maka mereka akan dapat hasil keluar daripadanya. Dan daripada situ baru boleh kita kurangkan kita punya import. Dan ini kita akan galakkan kepada anak-anak muda.

“Kalau yang tak suka dapat kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang, kita boleh bawa dia sebagai pekerja tetap di dalam ladang getah yang sentiasa hari-hari boleh toreh, melainkan kalau hujan sajalah,” jawab beliau. – HARAKAHDAILY 14/3/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!