KANO, Nigeria: Seramai 11 orang telah diitahan oleh polis di utara Nigeria selepas didapati makan secara terbuka dalam bulan Ramadan ini.
Individu yang ditangkap itu terdiri daripada 10 lelaki dan seorang perempuan dilakukan oleh polis Islam negeri Kano, di sini, yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam dan mengamalkan perundangan Islam atau Syariah, di sebalik undang-undang sekular.
Polis Islam yang dikenali sebagai Hisbah itu bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mencari dan menangkap individu Muslim yang didapati makan di kedai makan atau pasaraya di negeri berkenaan setiap tahun ketika bulan Ramadan, lapor Wion.
Menurut jurucakapnya, Lawal Fagge, tangkapan dibuat susulan aduan yang dilakukan oleh orang awam selepas mendapati pesalah telah melakukan kegiatan tersebut di kawasan pasar yang sibuk.
Bidang kuasa Hisbah telah membimbangkan bukan sahaja penduduk Muslim, tetapi juga penduduk bukan Islam kerana mereka juga boleh ditangkap dan didakwa jika didapati memasak makanan dengan niat untuk dijual kepada Muslim.
“Kita tidak menangkap orang bukan Muslim kerana ia tidak merisaukan mereka, tetapi mereka akan didapati bersalah sekiranya kami dapati mereka menjual makanan kepada orang Muslim yang sepatutnya berpuasa”, tegasnya.
Undang-undang syariah telah diperkenalkan di 12 negeri utara Nigeria sejak dua dekad lalu, yang mana majoriti penduduknya adalah orang beragama Islam.
Hisbah memaklumkan kesemua 11 individu yang ditangkap itu telah dibebaskan selepas mereka melakukan angkat sumpah bahawa mereka tidak akan meninggalkan puasa lagi dengan sengaja. – HARAKAHDAILY 14/3/2024