KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mewujudkan peruntukan atau akta khusus bagi membendung sindiket yang memperalatkan Orang Kelainan Upaya (OKU) termasuk kanak-kanak dan juga orang lemah di mana sering menjadi mangsa eksploitasi.
Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, satu operasi, bantuan dan sokongan termasuk bantuan psikososial dan sebagainya perlu dibuat untuk menyelamatkan mereka.
“Dalam jawapan YB Timbalan Menteri tadi berkaitan dengan Akta Orang Papa tidak mempunyai peruntukan yang disebut tadi untuk menghukum mana-mana orang yang mengemis dan mengambil kesempatan di atas kemurahan hati rakyat Malaysia.
“Jadi soalan saya ialah apakah perancangan pihak kementerian untuk mengatasi masalah ini,” tanya beliau.
Perkara itu dikemukakannya ketika mencelah Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen di sini sebentar tadi.
Mohd Sany dalam soalan asalnya meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan mekanisme lebih terperinci dan menyeluruh termasuk kuasa penguatkuasaan untuk mengawasi warga emas dan OKU dieksploitasi dalam aktiviti meminta sedekah atau mengutip derma atas nama jualan amal seperti yang berleluasa.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, bahawa beliau bersetuju dengan Kuala Krai berkenaan Akta tersebut tidak berbentuk punitif.
“Sebab asas akta itu adalah berprinsipkan kebajikan. Dan dalam konteks kebajikan pula objektif adalah untuk memulihkan seseorang yang berada dalam kesukaran agar boleh membantu kembali berdikari. Sebab itulah di Kementerian ini sedang dilaksanakan kajian semakan semula Akta Orang-orang Papa 1977.
“Untuk makluman dewan juga kajian ini dilaksanakan selama 21 bulan dan insya-Allah akan siap pertengahan tahun dan final dia akan dibentangkan kepada kepada kementerian.
“Skop kajian pula adalah mengenal pasti peruntukan sedia ada, membuat kajian perbandingan antara mengenai akta berkenaan gelandangan pengemisan dan miskin bandar di negara-negara lain mengadakan sesi libat urus dan juga konsultasi.
“Dan juga membantu kementerian dalam penyediaan regulatory impact analysist dan menghasilkan insya-Allah akan menghasilkan satu syor sama ada terdapat keperluan penggubalan akta baru dan mengenal pasti peranan kementerian.
“Dan objektifnya adalah untuk menyediakan cadangan kepada kerajaan mengenai kandungan pendekatan dan skop rang undang-undang dan pelan tindakan ke arah inisiatif pengendalian isu gelandangan, pengemisan dan kemiskinan bandar,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 12/3/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!