Amzad gesa KPKT naik taraf Pasar Borong Gong Pauh

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa pertimbangkan projek menaiktaraf dan pemulihan Pasar Borong Gong Pauh yang berada di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

- Advertisement -

Menurut Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, pasar borong itu merupakan pusat pengedaran bahan makanan yang utama di Terengganu.

“Pasar borong berkenaan merupakan satu-satunya pasar borong di negeri ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, kata beliau, isu keperluan bagi menaiktaraf dan pemulihan Pasar Borong Gong Pauh bukanlah isu baru.

“Sejak tahun 2019 lagi saya telah ke hadapan memperjuangkan isu tersebut.

“Saya sudah beberapa kali bertemu dengan Menteri KPKT bagi menyampaikan hasrat berkenaan, hari ini dalam dewan parlimen, sekali lagi saya bertemu beliau,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut membangkitkan isu keselamatan penduduk di Kampung Losong Panglima Perang, Kuala Terengganu yang digemparkan dengan penemuan beberapa kesan tapak kaki seakan harimau pada Ahad lalu.

Amzad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan ketika mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan membangkitkan perkara tersebut.

“Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia turut ada ketika itu.

“Saya harap ada tindakan susulan dari pihak yang berkuasa kerana ia melibatkan keselamatan rakyat di parlimen saya,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2024

- Advertisement -