Tarik balik lesen peniaga ‘ali baba’ tapak bazar Ramadan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Lesen penyewa tapak bazar Ramadan akan dirampas sekiranya didapati individu terbabit menyewakan kepada pihak ketiga.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, sewa tapak bazar Ramadan didapati ada yang bernilai RM10,000 kerana ‘ali baba’.

Sedangkan katanya bayaran sewa asal tapak bazar Ramadan kepada peniaga agak rendah, namun kerana penglibatan orang tengah harganya melonjak sehingga RM10,000.

“Kita bukan penganjur bazar Ramadan tetapi hanya keluarkan lesen sahaja, tetapi amat melampau kalau harga tidak masuk akal,” katanya kepada media hari ini.

Sebelum itu beliau meninjau persiapan awal Madinah Ramadan di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini. Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Mohd Anis Hussein. (Foto atas)

Hilmi berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan akan melakukan pemantauan terhadap peniaga di bazar Ramadan.

Katanya, pihak berkuasa tempatan tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen yang diberi jika didapati ada peniaga menyewakan kepada pihak ketiga.

“Tindakan itu diambil supaya individu terlibat sedar kesilapan yang dilakukan,” ujarnya.

Sementara itu, persiapan khemah Ramadan yang bertema Palestin sedang giat dijalankan dan dijangka dapat digunakan malam ini. – HARAKAHDAILY 11/3/2024

- Advertisement -