PADANG BESAR: Walaupun mendapat permintaan tinggi, namun Sekolah Rendah Islam At-Taqwa (SRIAT) di Beseri hanya mampu menyediakan dua bilik darjah untuk pengambilan baharu kerana tempat agak terhad.
Menurut mudirnya, Ustaz Azamhari Mahamood, tahun ini seramai 56 pelajar baharu tahun satu mendaftar menjadikan jumlah keseluruhan 358 orang.
“Tiap-tiap tahun permohonan untuk masuk belajar di SRIAT ini melebihi dari tempat yang kami tawarkan. Setakat ini SRIAt hanya mampu sediakan dua bilik darjah untuk menampung jumlah pelajar baharu,” jelasnya ketika ditemui Harakahdaily, hari ini.
Seperti institusi pendidikan lain, SRIAT memulakan sesi persekolah 2024/2025 hari ini dan tinjauan mendapati semua pelajar tahun satu berada awal di sekolah, kira-kira jam 7.00 pagi serta bersemangat untuk memulakan pembelajaran di sekolah baharu.
Jelas Azamhari lagi, tiada sesi pembelajaran untuk minggu pertama persekolahan sebaliknya diadakan aktiviti yang membawa suasana ceria di sekolah serta program sempena bulan Ramadan.
Sementara itu, ibu bapa yang ditemui ketika menghantar anak mengucapkan terima kasih kepada SRIAT kerana memberi peluang anak-anak mereka belajar di situ.
Marlida Mohamad Ani, 32, berkata beliau memilih menghantar anak sulungnya ke SRIAT untuk mendalami ilmu agama selain daripada akademik.
“Sebelum ini, saya menghantar anak saya ke Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), jadi sebagai kesinambungan dalam mendalami ilmu agama, saya memilih untuk menghantar anak saya ke sekolah ini.
“Alhamdulillah, anak saya terpilih untuk masuk ke sekolah ini kerana proses temuduga yang perlu dilalui. Saya berharap anak saya akan mendapat pendidikan yang bermutu,” ujarnya.
Pada perhimpunan pertama sekolah, program Ihya Ramadan turut dilancarkan sempena kedatangan bulan mulia itu.
Terdapat 13 aktiviti yang akan dilaksanakan termasuk ceramah istiqbal Ramadan, usrah, pertandingan mewarna dan khat, edaran juadah berbuka dan tadarus Al-Quran. – HARAKAHDAILY 11/3/2024