Kelantan sokong tindakan hapus pangkalan haram

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri sentiasa terbuka mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan bagi membincangkan isu menghapuskan pangkalan haram yang berisiko menjadi laluan utama bagi aktiviti penyeludupan ke negara ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud berkata, pihaknya juga menyambut baik hasrat Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usahanya mencari penyelesaian masalah yang membabitkan Kelantan, Kedah dan Perlis.

“Nanti dia mari bincang dahulu, dia tidak mari bincang lagi, malah kita terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan sesiapa pun lebih-lebih lagi Kerajaan Persekutuan, kita akan bincang bagi menghapuskan pangkalan haram di negeri ini.

“Kita sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan ini dengan sesiapa pun,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Tabung Madinah Ramadan 1145H/2024 yang diadakan di Medan Ilmu, Jalan Dato Pati Kota Bharu di sini pagi tadi.

Turut hadir Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Mohd Anis Hussein dan wakil agensi kerajaan dan swasta negeri Kelantan.

Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan wakil kerajaan negeri bagi membincangkan isu menghapuskan pangkalan haram yang menjadi laluan penyeludupan.

Jelasnya, beliau sendiri telah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Sempadan dan mencadangkan agar kewujudan pangkalan haram di perbatasan negara di Kelantan, Kedah dan Perlis dihapuskan melalui usahasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau akan memulakan cadangan tersebut untuk dilaksanakan di Kelantan kerana katanya banyak pangkalan haram dibina di sepanjang Sungai Golok, malah pihaknya akan menghantar surat kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk pertemuan itu dalam masa terdekat.

Dianggarkan, lebih 30 buah pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di Pengkalan Kubor dekat sini telah dikenal pasti aktif menjadi laluan utama bagi aktiviti penyeludupan termasuk migran, barang kawalan dan subsidi ke Thailand. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -