Kedah bergerak berdasar amanat, teras titah Tuanku Sultan

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah akan terus bergerak ke hadapan berdasarkan amanat dan teras yang terkandung di dalam titah Tuanku Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, 4 Mac lalu.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata antara perkara pokok di dalam titah berkenaan adalah berkenaan kedudukan negeri dalam Persekutuan Malaysia terutama melibatkan aspek undang-undang serta hubungan antara negeri dan persekutuan.

“Berdasarkan senarai Persekutuan Malaysia, berlaku pemisahan keduanya antara negeri dan persekutuan serta sebaliknya (persekutuan bersama negeri). Selain daripada itu terdapat kuasa kerajaan negeri yang tidak boleh diganggu gugat.

“Di situlah asas urusan kita (negeri) bersama persekutuan dan urusan persekutuan dengan negeri (kita),” kata beliau pada sidang media sebaik sahaja selesai persidangan DUN Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.

Jelas Sanusi lagi, terdapat banyak contoh sentralisasi (pemusatan) kuasa di seluruh dunia kepada negara-negara yang dibentuk berasaskan persekutuan.

Tetapi, katanya selepas beberapa tempoh, halangan-halangan besar sudah dapat diatasi, maka berlakulah pembahagian (bukan lagi pemusatan) serta pindah kuasa kepada negeri dalam sektor-sektor tertentu.

“Contoh, diberi kuasa kepada negeri miliki undang-undang dan mahkamah sendiri seperti di United State (US) di mana setiap state ada mahkamah dan undang-undangnya sendiri. US menurut Tuanku Sultan sebuah negara demokratik.

“Pemusatan kuasa kepada persekutuan yang keterlaluan akan menyebabkan negeri tidak dapat bernafas, boleh membahayakan demokrasi. Itulah antara intipati kepada persidangan DUN Kedah kali ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan ucapan perbahasan semua ADUN yang mengambil bahagian pada persidangan kali ini.

Ucapan itu, tegasnya yang dilihat memahami kehendak serta intipati yang terkandung di dalam titah Tuanku Sultan. – HARAKAHDAILY 7/3/2024

- Advertisement -