KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang supaya menambah bilangan pegawai yang akan mengenal pasti isu berkaitan kebajikan agar ianya dapat ditangani dengan sebaik mungkin, demikian harap Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang).
Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Kebajikan dan Masyarakat itu berkata, kementerian perlu untuk memastikan terutama dari segi sistem sokongan kepada yang berkaitan dengan JKM ini untuk ditambah baik.
“Sebab kita memahami kekangan pegawai. Contoh satu pegawai menjaga satu DUN untuk isu-isu kebajikan, ini tidak memadai puluhan ribu orang,” kata Zailah di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.
Beliau mengemukakan perkara itu ketika mencelah Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
Dr Kelvin dalam soalan asalnya meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan peruntukan di bawah Bajet 2024 yang dikhususkan untuk penggajian pekerja-pekerja sektor perkhidmatan sosial dalam JKM.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara tersebut sedang dilakukan penambahbaikan.
“Pertama dari segi Jabatan Pembangunan Kanak-kanak, itu sudah kita keluarkan daripada JKM. Walaupun ianya lebih akan independent katakan pada tahun 2026, namun dari segi perjawatan telah kita dapat kelulusan dan berlaku pada masa ini sehingga tahun 2026.
“Kerana ianya memerlukan beberapa pindaan undang-undang yang melibatkan struktur perjawatan semuanya,” jelas beliau memberitahu selain daripada itu juga pihaknya ada melakukan penambahbaikan baru mendapat premis di Nibong Tebal.
Premis itu jelasnya, sudah mendapat kelulusan perjawatan dan juga boleh untuk membantu menangani kes di Nibong Tebal untuk kanak-kanak dan juga orang tua di mana ia satu perubahan baru.
“Insya-Allah kita cuba nak kalau boleh kita nak caj juga kalau mereka yang berkemampuan yang di bawah kita punya premis institusi kita, (tetapi) kita tak caj. Tapi yang lain itu mungkin kerana premis itu baru dan kita sudah dapat perjawatan juga yang diluluskan oleh JPA.
“Dan seterusnya ialah penambahbaikan baru ialah dari sudut pekerja sosial inilah RUU Kerja Sosial ini supaya kita dapat menambahkan lagi dari segi ratio (nisbah) sekarang ini terlalu besar.
“Maka sebab itu kita nak mengecilkan ratio supaya lebih dapat dilakukan pekerjaan itu dengan lebih efisien. Itu yang kita nak lakukan dan banyak lagi yang kita lakukanlah untuk membantu terutama sekali di bawah JKM ini,” jawab Nancy kepada soalan Siti Zailah. – HARAKAHDAILY 6/3/2024