
KUALA LUMPUR: Berdasarkan skor Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022, terdapat kemerosotan yang ketara dalam tiga domain literasi iaitu Matematik, Sains dan bacaan.
Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berkata, ia antaranya berpunca daripada ketiadaan peperiksaan berpusat ataupun pentaksiran secara berpusat seperti UPSR, PT3 dan juga PMR.
“Jadi soalan saya, adakah pihak kementerian bercadang untuk mengembalikan peperiksaan berpusat seperti UPSR, PMR atau PT3? Kalau tidak ada cadangan tersebut, apakah langkah drastik untuk memastikan penguasaan mata pelajaran matematik dan juga sains ini?” ujarnya.
Beliau membangkitkan perkara itu sebagai soalan tambahan kepada soalan asal beliau dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.
Dalam soalan asalnya, Nurul Amin meminta Menteri Pendidikan menyatakan mengenai tindakan kementerian berikutan prestasi merosot Malaysia dalam laporan PISA 2022 bagi skor Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Sementara itu Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dalam jawapannya berkata, setakat ini Kementerian Pendidikan Malaysia masih berpandukan kepada pentaksiran dalam bilik darjah iaitu pentaksiran oleh guru.
“Dalam perkara ini pada tahun lepas kita telah mulakan dengan ujian UASA yang telah pun diadakan pada murid kita dari darjah 4 hingga darjah 6.
‘Dan kualiti ujian tersebut telah pun dipantau oleh KPM khasnya melalui Lembaga Peperiksaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!