Hargai Tok Mat selesaikan masalah air Kem Terendak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) menzahirkan ucapan terima kasih kepada mantan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan (Tok Mat) kerana menyelesaikan masalah kemudahan asas di Kem Terendak, Melaka.

“Tangga Batu ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada mantan Menteri Pertahanan iaitu YB Rembau, kerana telah bertindak cepat menyalurkan peruntukan setelah isu ini diangkat di Parlimen.

- Advertisement -

“Ia bagi mengatasi masalah bekalan air di Kem Terendak yang berlarutan sekian lama dan memperbaiki serta menaik taraf Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Terendak dan sekitarnya yang sedang berjalan sekarang,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka itu berkata demikian semasa berucap pada Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sinj hari ini.

“Seperti yang pernah saya sentuh dalam Perbahasan Bajet 2024 yang lalu, masalah air di RKAT Desa Tun Razak, Desa Taming Sari dan Desa Ria yang berada di luar kawasan Kem Terendak juga perlu diselesaikan segera,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menyokong gesaan dibuat oleh Mej Jen (B) Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) agar veteran tentera yang bersara sebelum tahun 2013 diberi pelarasan pencen seperti telah diperjuangkan sekian lama.

“Jasa veteran tentera yang bersara sebelum tahun 2013 sangat besar dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman komunis.

“Oleh itu Tangga Batu sangat menyokong gesaan Ketereh dalam memperjuangkan penyelarasan pencen veteran tentera yang bersara sebelum 1 Januari 2013 yang berjumlah sekitar 78,000,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar isu itu dapat diselesaikan tahun ini seperti yang disebut oleh Menteri Pertahanan semasa Perbahasan Bajet 2024 sebelum ini. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -