Cadang migrasi air Sabah kepada Kerajaan Pusat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah dicadang melakukan migrasi dengan Kerajaan Persekutuan supaya lebih 80 peratus hutang kerajaan negeri berkaitan pembangunan luar bandar dapat dihapus kira.

Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, Sabah antara negeri yang tidak melaksanakan migrasi dengan Kerajaan Persekutuan menyebabkan semua pembiayaan air berada dalam bentuk pinjaman.

- Advertisement -

Beliau menyuarakan untuk Kerajaan Persekutuan berunding dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak supaya migrasi berkaitan terutama bekalan air luar bandar akan berada di bawah tanggungan Kerajaan Persekutuan.

“Kedua ialah masalah besar yang berlaku di Sabah ialah NRW (air tidak berhasil)sebagaimana yang disebut lebih 60 peratus. Persoalannya ialah apakah langkah jangka panjang selain daripada penukaran paip sebagai contoh di Labuan?

“Apakah kerajaan tidak berhasrat membina loji rawatan itu di pulau bukan di tanah besar? Sebab bila tanah besar berlaku kebocoran kadarnya sangat tinggi. Tapi kalau dibuat di pulau bermakna kita hantar air mentah, bukan air terawat,” soal beliau.

Beliau mengemukakan perkara itu ketika mencelah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen di sini sebentar tadi.

Bung Moktar dalam soalan asalnya meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan status bantuan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah dalam penyelesaian jangka pendek masalah air di negeri itu.

Kata beliau, ia seperti yang diumumkan sebanyak RM320.25 juta (jangka pendek) dan turut ingin tahu jangkaan bantuan jangka panjang mengatasi masalah bekalan air di negeri Sabah.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, itu salah satu yang sedang kerajaan bincangkan tetapi akhirnya keputusan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri itu sendiri.

“Kalau ada permintaan sudah pasti kita akan melihat kepada perincian bagaimana kita dapat membantu kalau nak diserahkan sebahagian kuasa air itu kepada Persekutuan, supaya Persekutuan dan negeri boleh sama-sama merancang untuk jangka panjang apakah solusi keseluruhannya untuk bekalan air Sabah ini.

“Tapi yang lebih utama saya kira cabaran di Sabah ialah yang saya katakan tadi di samping NRW disebabkan kebocoran paip tapi juga banyak berlaku kecurian, illegal extension ini yang perlu diambil tindakan.

“Kalau tidak ianya akan menjejaskan segala perancangan di peringkat negeri itu sendiri dan di peringkat Persekutuan kita memang sedia untuk membantu Labuan walaupun mungkin terkeluar sedikit sebab Labuan sekarang ini di bawah direct di bawah Persekutuan.

“Cuma kalau kita nak buat loji di Labuan itu sumber air tidak mencukupi. Sebab itu mereka terpaksa mengambil air daripada tanah besar di negeri Sabah itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!