16 negeri Amerika Syarikat pilih calon Demokrat, Republikan

Nikki Haley (kiri), Joe Biden (tengah) dan Donald Trump merupakan antara tiga calon Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2024. (FOTO: Telegraph.co.uk)
- Advertisement -

WASHINGTON, DC: Pemilihan parti sempena Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2024 semakin hangat apabila hari ini (6 Mac), berlangsung ‘Super Tuesday’, yang menyaksikan 16 negeri bakal mengundi bagi memilih siapakah yang bakal menjadi calon bagi parti Demokrat dan Republikan.

Sebanyak 1,420 undi perwakilan menjadi taruhan bagi parti Demokrat, manakala sebanyak 865 undi perwakilan bagi parti Republikan.  Undi yang diperlukan untuk menjadi calon parti Demokrat adalah sebanyak 1,968 undi dan 1,215 undi perwakilan diperlukan untuk ditabalkan menjadi calon bagi parti Republikan.

- Advertisement -

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden yang mewakili parti Demokrat menjadi pendahulu apabila berjaya memperoleh sebanyak 206 undi. Beliau merupakan satu-satunya calon popular dan menonjol bagi pemilihan parti Demokrat.

Sementara, bekas presiden Amerika Syarikat yang lalu, Donald Trump menjadi pendahulu bagi parti Republikan apabila mendahului sebanyak 276 undi perwakilan.

Trump mendapat saingan hebat daripada bekas wakil Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika era pentadbiran beliau, Nikki Haley dengan undian perwakilan sebanyak 52 undi.  

Walaupun terdapat banyak undian yang dipertaruhkan bagi kedua-dua parti, Biden dan Trump masih lagi tidak mampu untuk disahkan menjadi calon lebih awal walaupun sekiranya mereka berjaya memenangi kesemua undi perwakilan pada Super Tuesday kerana jumlah yang belum mencukupi.

Laporan CBS News menyatakan bahawa tarikh paling awal bagi mengesahkan pencalonan Biden bagi mewakili parti Demokrat adalah pada 19 Mac ini, manakala Trump yang mewakili parti Republikan adalah pada 12 Mac selepas berlangsung undi perwakilan kelak. 

Pilihan raya Presiden pada tahun ini agak hangat apabila terdapat banyak isu yang dibangkitkan khususnya mengenai faktor kesihatan Joe Biden, isu keselamatan sempadan dan perang Israel-Hamas di Gaza yang sehingga kini masih belum tamat. 

Pemerhati menganggap pilihan raya ini sebagai terpenting kerana kedua-dua calon yang mendahului undian parti mempunyai pandangan yang berbeza terhadap isu-isu yang berbangkit. – HARAKAHDAILY 6/5/2024

- Advertisement -