PERANG Gallipoli, Dardanelles Campaign atau Janagal’a dalam bahasa Arab adalah sebahagian daripada siri peperangan yang berlaku dalam Perang Dunia Pertama antara pakatan Turkiye yang disokong oleh Jerman dan Austria-Hungry menentang tentera bersekutu yang dianggotai oleh Britain, Perancis dan Rusia.
Gallipoli adalah sebuah bandar yang terletak di Selat Dardanelles yang menghubungkan antara Laut Mediterranean, Laut Marmara dan Laut Hitam.
Lokasi ini terletak di tempat yang amat strategik dari sudut geopolitik mahupun ekonomi kerana ia menjadi pintu masuk daripada lautan lepas untuk ke Istanbul dan laluan penting perdagangan laut.
Akhir abad ke-18 adalah permulaan kepada kemunduran Khilafah Uthmaniyyah yang dibebani dengan masalah hutang yang banyak serta pelbagai masalah dalaman yang lain.
Walaupun Sultan Abdul Hamid II yang memerintah antara tahun 1876 hingga 1908 berusaha untuk memulihkan kembali reputasi Khilafah Uthmaniyyah dengan mengadakan pelbagai pembaharuan, namun ia tidak berjaya malah keadaan menjadi bertambah buruk.
Situasi Khilafah Uthmaniyyah ketika itu sangat parah,khususnya krisis dalaman yang semakin tidak terkawal yang didokong oleh musuh-musuh Islam yang menaja gerakan pembaharuan sehingga memaksanya untuk melepaskan jawatan.
Kuasa imperialis Barat yang semakin kuat pengaruhnya melihat keadaan ini sebagai satu peluang keemasan untuk meruntuhkan Khilafah Uthmaniyyah dan seterusnya, menawan kembali Istanbul bagi membalas dendam kesumat kejatuhan Constantinople di zaman Sultan Muhammad Al-Fateh dahulu.
Perang Dunia Pertama
Akhirnya tercetuslah Perang Dunia Pertama dan dilancarkan kempen Perang Gallipoli bagi menawan laluan penting yang menghubungkan Turkiye dan Eropah iaitu Selat Dardanelles. Tujuan utamanya adalah untuk memisahkan penguasaan Khilafah Uthmaniyyah daripada Eropah.
Perikatan Barat yang diketuai oleh Britain bersama-sama dengan Perancis dan Rusia melancarkan kempen peperangan ini yang bermula pada 17 Februari 1915, dengan mengerahkan bala tentera laut yang amat besar berjumlah hampir 100 buah kapal dalam pelbagai kategori untuk menyerang kedudukan tentera Uthmaniyyah di Selat Dardanelles.
Tentera bersekutu tidak mendapat tentangan yang hebat dari tentera Uthmaniyyah sehingga Winston Churchill yang memimpin tentera Britain pada ketika itu dengan angkuhnya menyebut: “Kita akan minum teh di kota Istanbul”, sebagai isyarat bahawa kota Istanbul akan ditakluk oleh tentera bersekutu pimpinannya.
Namun, ibarat pepatah Melayu menyebut, ‘disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan di tengah hari’, kapal-kapal tentera bersekutu yang berkumpul di Selat Dardanelles telah masuk ke dalam perangkap tentera Uthmaniyyah lalu dibedil bertalu-talu dan berjaya ditenggelamkan sejumlah besar daripadanya.
Setelah serangan melalui laut gagal, pakatan tentera Bersekutu menurunkan tentera bagi melancarkan serangan darat, antaranya ialah ketumbukan tentera Australia dan New Zealand Army Corps (ANZAC) yang terkenal dengan lasak dan ganas.
Namun, kemaraanya berjaya disekat oleh tentera Uthmaniyyah yang menggunakan strategi bertahan di kubu-kubu yang menyebabkan musuh-musuh mereka kempunan sehingga kebanyakan mereka mati kebuluran dan ditimpa pelbagai penyakit.
Akhirnya setelah hampir setahun kempen peperangan ini berlangsung, pihak tentera Bersekutu mengaku kalah.
Peperangan yang meragut hampir 300,000 nyawa tentera bersekutu dan 250,000 syahid di pihak Uthmaniyyah ini dikenang sebagai antara salah satu perang agung di zaman moden khususnya bagi umat Islam Turkiye kerana ia ibarat kekalahan tentera Ahzab moden yang mahu menjatuhkan kerajaan Islam Uthmaniyyah.
Penubuhan Turkiye moden
Kemenangan ini diingati dan diraikan oleh rakyat Turkiye setiap tahun pada tanggal 18 Mac sebagai simbol kemenangan mereka ke atas pakatan Barat dan menjadi pencetus kepada penubuhan Turkiye moden di bawah pimpinan Mustafa Kamal Attaturk.
Setiap kali kemenangan ini diraikan, nama Sayit Ali Cabuk sentiasa menjadi sebutan setiap rakyat Turkiye.
Beliau hanyalah anggota tentera biasa Khilafah Uthmaniyyah yang diberikan tanggungjawab mengawal unit meriam di sebuah bukit strategik yang terletak berhadapan Selat Dardanelles.
Ketika unitnya diserang oleh pakatan tentera Bersekutu, hanya beliau yang terselamat. Walaupun tercedera, beliau menggagahkan dirinya untuk bangun dan memikul peluru meriam seberat 250 kilogram, lalu membedil kapal perang utama British dan berjaya menepati sasaran serta menenggelamkannya.
Tentera Uthmaniyyah yang menyaksikan peristiwa ini melaungkan takbir seolah-olah menyaksikan turunnya pertolongan Allah SWT kerana kepentingannya berjaya menyekat kemaraan tentera Bersekutu.
Ia adalah karamah yang ditunjukkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beriman apabila berdepan dengan musuh-musuh Islam.
Kaitan Perang Gallipoli, Peristiwa Dahagi, Singapura
Apabila mengingati sejarah peperangan ini, saya percaya ia mempunyai kaitan dengan peristiwa berdarah Dahagi di Singapura pada tahun 1915 apabila lebih separuh daripada tentera India Muslim dari 5th Light Infantry, Regimen Askar India di bawah British dan 100 tentera Melayu-Islam bangkit memberontak ke atas penjajah British sehingga mengakibatkan 33 orang tentera British terkorban.
Saya juga percaya pemberontakan mereka adalah kerana keenganan mereka untuk dihantar berperang menentang saudara-saudara mereka iaitu tentera Khilafah Uthmaniyyah di Turkiye dalam kempen Perang Gallipoli.
Malah dipercayai juga ketumbukan tentera India Muslim tersebut ditempatkan di Singapura oleh British sebagai persediaan untuk berperang bagi pihak mereka di Eropah termasuk di Turkiye.
Di Singapura ketika itu, sentimen masyarakat Melayu Islam begitu kuat menyokong Khilafah Uthmaniyyah kerana Khilafah Uthmaniyyah adalah satu-satunya legasi kesinambungan Kerajaan Islam yang masih utuh di dunia.
Tambahan pula ketika itu, Khilafah Uthmaniyah diserang hebat oleh pakatan tentera British, Perancis dan Rusia serta meningkatkan lagi simpati orang Melayu-Islam Singapura dan menaikkan lagi semangat penentangan mereka terhadap British hingga pada ketika itu wujud seruan jihad menentang British dan Perancis di Singapura.
Sentimen anti-British
Aktivis seperti Kasim Mansur, pendakwah Nur Alum Shah, bekas editor Neracha, K. Anang dan ramai lagi orang Melayu Islam bangkit menentang British kerana tindakan mereka bersama-sama pakatan tentera bersekutu menyerang Turkiye.
Tindakan British menempatkan tentera India Muslim di Singapura juga memakan diri apabila mereka turut bersama dengan masyarakat Melayu-Islam di Singapura menentang British.
Sentimen anti-British semakin memuncak dengan kebanyakan akhbar berbahasa Melayu Singapura seperti Neracha bertindak menempelak British dengan menyiarkan berita mengenai peperangan Gallipoli di Turkiye yang menambahkan lagi simpati orang Melayu-Islam Singapura terhadap Khilafah Uthmaniyyah.
Kasim Mansur, Nur Alum Shah, K. Anang dan ramai lagi pejuang serta aktivis Melayu Islam ditangkap, diseksa dan dihukum, malah ada yang dibuang negeri.
Operasi Akhbar-akhbar berbahasa Melayu seperti Neracha ditutup malah usaha mengumpul dana dan solat hajat bagi mendoakan kemenangan untuk Khilafah Uthmaniyyah turut diharamkan oleh British.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh British, ia tidak sedikit pun melunturkan semangat dan sokongan masyarakat Melayu Islam di Singapura kepada Khilafah Uthmaniyyah.
Berlakunya peristiwa Dahagi pada 1915 adalah interpretasi kebencian menebal orang Melayu-Islam Singapura termasuk tentera Melayu Islam dan tentera India Muslim terhadap British.
Kemenangan Perang Gallipoli bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Turkiye bahkan juga kepada umat Islam keseluruhannya kerana Khilafah Uthmaniyyah adalah simbol kekuatan umat Islam yang terakhir sebelum ia dileraikan pada tahun 1924 oleh musuh-musuh Islam.
Sebahagian tentera Uthmaniyyah yang gugur syahid dalam peperangan ini terdiri daripada umat Islam dari bangsa Arab, Kurdis, Balkan di samping orang Turkiye sendiri yang menjadi asas utama kekuatan tentera Khilafah Uthmaniyyah.
Ia jelas menunjukkan bahawa paksi keutuhan kesatuan umat Islam adalah tidak mengira bangsa, warna kulit, keturunan dan kekuatan namun apabila berpegang dengan agama walaupun ketika mereka lemah berhadapan dengan musuh yang jauh lebih kuat daripada mereka, umat Islam berganding bahu menghadapinya demi menjaga maruah dan kesucian Islam.
Iktibar buat umat Islam
Peperangan Gallipoli seharusnya menjadi iktibar kepada kita umat Islam bahawa tiada apa yang lebih mulia selain daripada menjaga kesucian dan keluhuran Islam kerana hanya dengan Islam serta kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, Dunia Islam akan menemui kekuatan dan perpaduan yang dicari-cari selama ini.
Perpaduan adalah lambang kekuatan umat Islam sejak dari zaman bermulanya Hijrah Rasullulah SAW. Kota Madinah Al Munawarah adalah simbol perpaduan umat Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW kepada kita semua umat Islam.
Kota Suci Baitul Maqdis yang kita semua kenali dengan peristiwa Isra’ Mikraj sebenarnya saat ini melambangkan kelemahan dan kehancuran perpaduan umat Islam.
Jika umat Islam kuat dan bersatu padu, sudah tentunya rakyat Palestin tidak merempat di tanah air mereka sendiri dan Zionis Israel bermaharajalela di bumi Palestin.
Penyakit kelemahan perpaduan dan kesatuan umat Islam saat ini sudah merebak di seluruh pelusuk dunia dengan setiap negara Dunia Islam menghadapi sindrom yang sama.
Sebelum menjadi lebih parah, ambillah iktibar dan kuatkan kembali kesatuan dan perpaduan Dunia Islam dengan menjadikan Islam sebagai asasnya.
Insya-Allah, jika kita berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sebenar, Allah SWT tidak akan menghampakan hamba-hamba-Nya yang beriman.
Semoga Islam kembali bangkit dan bersinar di seluruh pelusuk dunia serta menguatkan kembali kesatuan dan perpaduan Dunia Islam. – HARAKAHDAILY 6/3/2025
- – Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Terengganu, Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat, dan ADUN Batu Buruk.