Mangsa rumah roboh dibawa ke DUN Selangor hari ini 

CheguBard dalam sidang media di Kampung Bunga Raya, Subang, Selangor pada # Mac 2024.
- Advertisement -

SHAH ALAM: Pembela Tanah Air (PETA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan membawa penduduk Kampung Bunga Raya, Subang berhubung isu rumah kediaman mereka telah dirobohkan, ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada jam 12 tengah hari ini.

Sekretariat PETA, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard, berkata, rombongan tersebut turut dihadiri peguam dan disambut oleh bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Halim Tamuri.

- Advertisement -

Mengulas lanjut, pihaknya akan mengadakan perbincangan di pejabat Ketua Pembangkang, manakala penduduk dan peguam akan memberikan taklimat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor. 

“(Kronologinya) pada 1992, penduduk Kampung Bunga Raya diarah pindah guna Kanun Tanah konon kerana kampung asal mereka hendak buat jalan alternatif Subang – Damansara dan penduduk dipindahkan ke rumah panjang sekarang (yang baru dirobohkan – Kampung Bunga Raya Subang).

“Pada 1993, disedari rupanya bukan hendak buat jalan tetapi tanah asal kampung mereka diserahkan kepada syarikat Sinar Fadzilat, milik pemimpin Umno Selangor ketika itu. 

“Selepas penduduk buat bising, pemaju setuju jual bina rumah kos rendah dengan harga RM25,000 yang dibayar penduduk dan bakinya subsidi kerajaan. Majoriti penduduk buat pinjaman bank beli rumah murah itu,” katanya dalam satu kenyataan. 

Tambah beliau, selepas 10 tahun rumah murah tersebut yang telah dibeli oleh penduduk masih belum disiapkan, dan malangnya subsidi kerajaan telah diambil oleh pemaju.

Namun, tanah kampung yang dijadikan sebagai tempat ‘transit’ mereka dipindahkan kepada syarikat pemaju Dania Emas, pemilik pemimpin Umno (dan isteri) yang sama dengan syarikat Sinar Fadzilat. 

“Pada 2008 dan 2009 penduduk diminta untuk mengosongkan rumah mereka oleh pemimpin Umno yang sama cuma syarikat berbeza dan kes ini dibawa ke mahkamah. 

“Ahli Parlimen mereka ketika itu dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menghantar peguam, namun tak tahu sama ada sengaja menipu, kerana dalam mahkamah tidak difailkan dokumen dan fakta mengenai penduduk yang ditipu pemaju (individu yang sama). 

“Malangnya, penduduk kalah kerana tidak difailkan dokumen sepatutnya dalam mahkamah,” ujarnya yang menambah bahawa majoriti penduduk di situ ialah keturunan India dan rata-rata penyokong PKR, namun mereka dizalimi oleh regim campuran, sebelum PETA dan PPIM tampil membantu demi kemanusiaan.

Selepas itu, ujarnya lagi, penduduk menerima notis perobohan rumah, lalu bekalan elektrik dan air dipotong secara tiba-tiba pada minggu lepas.

“Penduduk tak tahu nak ke mana. ADUN dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) kawasan mereka langsung tak nak berjumpa. 

“Mereka telah bertemu Menteri Besar (MB) Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dan dikatakan telah memberi janji palsu yang mana MB memberitahu kepada penduduk, ‘boleh duduk rumah sementara dapat rumah baharu’.

“Hari Rabu (21 Feb) lalu, PETA baru dihubungi (mengenai isu tersebut) namun semua agak terlambat…(apabila) pada esoknya (Khamis, 22 Feb), rumah mereka telah dirobohkan. 

“Penduduk di situ majoritinya miskin tegar, warga emas, pesakit kritikal malah ada bayi baru lahir 20 hari, pada ketika itu. 

“Pemaju zalim dengan regim tidak ada kemanusiaan, malah dihantar pula samseng untuk mengugut dan memukul penduduk yang mempertahankan dan memperjuangkan haknya dan motosikalnya dibakar,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2024

- Advertisement -