PADU tak diyakini rakyat, data peribadi berisiko?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi penjelasan sewajarnya terhadap dakwaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang digodam baru-baru ini bagi mendapat keyakinan rakyat setelah hanya 3.7 juta penduduk mengemas kini maklumat sehingga 22 Februari lalu.

- Advertisement -

Datuk Ahmad Amzad Mohamed (PN-Kuala Terengganu) berkata, ramai yang masih sangsi dengan pelaksanaan sistem tersebut, apatah lagi ketika kebocoran data peribadi dan digunakan oleh individu tidak bertanggungjawab bagi melakukan penipuan atas talian.

Beliau berkata, meskipun PADU sangat baik dalam meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, namun rakyat dikejutkan baru-baru ini dengan serangan siber terhadap Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) oleh R00TK1T.

“Pada saya secara falsafahnya ianya sangat bagus cuma kita dikejutkan dengan kumpulan hacker mendakwa telah berjaya menggodam sistem PADU ini dan kerajaan sudah menjelaskan sistem yang digodam bukan pangkalan data utama tetapi LPPKN, salah satu agensi kerajaan.

“Saya memohon agar kerajaan memandang serius terhadap dakwaan ini atau ancaman serangan ini serta dapat meningkatkan sekuriti siber, melibatkan data awam ini kerana keadaan yang berlaku ini menyebabkan mungkin menjadi punca sambutan rakyat sangat kecil,” katanya.

Berucap pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu turut membangkitkan mengenai masalah lambakan graduan asing dalam sektor pasaran pekerjaan dalam negara.

Beliau memetik kenyataan dari Jabatan Tenaga Kerja Malaysia yang mendedahkan bilangan graduan asing yang bekerja di negara ini semakin meningkat sehingga 15 peratus setiap tahun, yang bakal memberi kesan kepada lepasan institusi pengajian tinggi tempatan.

Malah katanya rakyat juga dikejutkan dengan cadangan Kerajaan Madani baru-baru ini untuk membenarkan graduan asing diterima bekerja dalam bidang berteknologi tinggi, ketika anak tempatan masih terkial-kial mencari peluang pekerjaan di negara sendiri.

“Cadangan ini mungkin munasabah dijawab oleh menteri bahawa ada sektor tertentu yang masih lagi tidak dapat diisi kerana ketiadaan graduan tempatan tetapi cadangan itu mesti bersifat sementara serta mempunyai masa hadnya kerana pengajian sama ada tempat kita.

“Pendidikan latihan dan kemahiran kepada rakyat tempatan dengan keperluan pasaran sudah lama diperkatakan sejak dahulu lagi, jadi perkara itu mesti diselesaikan segera, kalau tidak yang menjadi mangsanya kelak adalah graduan tempatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2024

- Advertisement -