
GOMBAK: Tindakan kerajaan pada masa ini yang menyekat kebebasan bersuara dan mengutarakan pandangan dan pendapat dalam media sosial (medsos) dilihat lebih kepada mengamalkan sikap kuku besi.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pada akhir Disember tahun lepas menunjukkan jumlah video digugurkan daripada platform Tiktok dan Meta adalah sebanyak enam kali ganda berbanding dengan kerajaan-kerajaan sebelum ini.
Kata beliau, angka tersebut telah dikeluarkan oleh syarikat Meta dan TikTok itu sendiri yang mana bilangan tersebut adalah sangat mengejutkan.
“Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan pada masa ini adalah bersifat kuku besi kerana mana-mana pihak yang nak bersuara terhadap kerajaan melalui Tiktok sahaja akan terus kena banned (diharamkan),” katanya.
Beliau membuktikan perkara tersebut terus berlaku pada masa ini, yang mana sekiranya terdapat video yang menyentuh soal penurunan mata wang Ringgit Malaysia, maka video tersebut akan disekat serta-merta di negara ini.
Namun begitu, kata beliau, video-video tersebut boleh dimainkan di luar negara seperti United Kingdom, tetapi hanya tidak boleh diakses apabila di negara ini.
“Semalam, saya dengar mantan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tan Sri Rafidah Aziz ada cakap soal (pesara) pencen (tindakan mengeluarkan pesakit terdiri pesara dan penjawat awam dari Institut Jantung Negara) pun kena banned juga kandungan Facebooknya.
“Masalahnya beliau (Rafidah) pun bukannya cawangan Dewan Muslimat PAS mana-mana tapi tetap menerima nasib yang sama,” katanya dalam Konvensyen Penerangan PAS Pusat di Akademi Pengajian Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini, pada Sabtu.
Tambah Fadhli, terdapat kemungkinan bahawa video-video sebegitu tidak lagi boleh dihantar melalui link seperti biasa akibat daripada tindakan tersebut yang dilakukan oleh pihak kerajaan itu sendiri.
Menurut beliau, kemungkinan akan adanya keperluan untuk memuat turun video-video tersebut supaya dapat terus disebarkan kepada orang ramai.
“Jadi, pentingnya untuk kita download (muat naik) video-video sebegitu supaya dapat disebarkan melalui whatsapp tanpa perlu melalui link.
“Ini penting supaya reach boleh sampai kepada orang ramai dengan bilangan yang lebih tinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!