Hidayah milik Allah SWT

- Advertisement -

BERSYUKUR kita kepada Allah S.W.T kerana kita masih berada di atas jalan hidayah Allah S.W.T. Ketika membicarakan tentang hidayah, kita perlu tahu bahawa kelak akan ada satu jalan yang harus kita lalui iaitu sirat yang berada di atas neraka Jahanam.

Di saat kita kehilangan arah jalan dalam kehidupan ini, kita mungkin akan tersesat dan kita akan bertanya kepada orang. Seandainya yang ditanyai itu orang yang benar, maka sudah pasti, dia akan menunjukkan kita ke arah jalan yang benar.

- Advertisement -

Seandainya bertanya kepada orang yang salah, maka kita akan ditunjukkan pada jalan yang salah dan kita akan tersesat dan hilang arah, maka kita tidak akan pernah sampai kepada-Nya.

“Dan tiada seorangpun daripada kamu, melainkan mendatangi neraka itu (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.

“Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa, dan Kami akan membiarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu.”
(Maryam : 71-72)

Ini semua adalah ketentuan daripada Allah S.W.T. Sebahagiannya selamat dan dimasukkan ke dalam syurga tetapi ramai orang akan berjatuhan ke dalam neraka. Oleh kerana itu, kalau kita membicarakan tentang nikmat hidayah, hidayah itu sangat mahal dan utama.

Setiap Muslim dituntut agar senantiasa berdoa memohon hidayah kepada Allah S.W.T sekurang-kurang sebanyak 17 kali sehari (dalam solat).  Rasulullah S.A.W sendiri senantiasa memohon kepada Allah S.W.T agar diteguhkan hati dalam melaksanakan ketaatan dan beragama kerana hidayah itu adalah milik Allah S.W.T.

اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ

Tunjukanlah kami jalan yang lurus
(Al- Fatihah : 6)

Kalimah ini disebut, diulang-ulang. Kita meminta-minta agar Allah S.W.T, beri kita hidayah kerana sekali kita tergelincir dari jalan Allah S.W.T itu, kita akan terhumban ke neraka kerana telah memilih jalan yang salah.

Akan didatangkan nanti orang yang paling berharta tetapi dia penghuni neraka dan akan ditanya tentang dunianya dan juga seorang susah tetapi penghuni syurga:

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah S.A.W bersabda:  “Seseorang yang paling senang hidupnya di dunia daripada ahli neraka dibawa pada hari Kiamat lalu dicelup ke dalam neraka.

Kemudian dikatakan kepadanya: “Wahai anak Adam. Adakah engkau pernah melihat sebarang kesenangan? Adakah kenikmatan pernah muncul dalam hidup engkau?

Orang itu menjawab: “Tidak, demi Allah, wahai tuhanku.

Dibawakan pula seseorang yang paling susah hidupnya di dunia daripada ahli syurga, lalu dicelup ke dalam syurga.

Lalu ditanya kepada beliau: “Wahai anak Adam. Adakah engkau pernah melihat sebarang kesusahan? Adakah kesusahan pernah muncul dalam hidup engkau?

Dia menjawab: “Tidak, demi Allah, wahai tuhan ku. Tidak pernah kesusahan muncul dalam hidup ku dan tidak pernah aku melihat sebarang kesusahan.
(Sahih Muslim, Kitab Sifat al-Qiyamah wa al-Jannah wa an-Nar, no: 2807)

Itulah hakikat syurga dan neraka. Hanya sekali celupan dalam neraka, kita akan lupa segala nikmat yang pernah kita rasai di dunia. Sekali celupan dalam syurga, terus hilang segala rasa kesusahan yang pernah dialami di dunia.

Inilah hidayah. Hidayah itu lebih mahal dari dunia dan isinya. Kalau kalian memiliki dunia dan isinya, tetapi kalian tidak memiliki hidayah daripada Allah S.W.T, orang ini kelak pada hari kiamat akan bersedia untuk menebus dirinya dari api neraka dengan timbunan emas, tetapi tidak diterima tebusan ini daripadanya. Kerana dunia dan isinya ini tidak lebih daripada satu sayap nyamuk di sisi Allah S.W.T. Tidak ada nilainya sehingga dengannya, kalian tidak dapat menebus diri dari neraka Allah S.W.T.

Berbanding di dunia, ada antaranya boleh menebus diri dari kesilapan atau hukuman dengan kekayaannya yang ada, sehingga boleh keluar dari penjara. janji ada wang! Di dunia, mungkin boleh terlepas dari hukuman tapi tidak di akhirat.

Manusia yang bijak akan memilih kenikmatan syurga yang lebih besar daripada nikmat dunia. Manusia yang bijak akan menjauhkan diri daripada kesusahan neraka yang lebih dahsyat daripada kesusahan dunia.

Jadi yang berhak memberikan hidayah itu Allah S.W.T.

Lihat sahaja apa yang berlaku kepada bapa saudara Rasulullah S.A.W. Abu Thalib. Selama 10 tahun Nabi S.A.W duduk bersamanya dan mendakwahinya, namun masih tidak disapa hidayah untuk memeluk Islam. Dia sangat mengenali Nabi S.A.W dalam semua hal, iaitu seorang terhormat, berakhlak mulia dan berkorban apa sahaja untuk kebaikan orang lain. Nabi ajak beliau kepada Islam tetapi beliau menolak tetapi beliau masih menjaga Nabi S.A.W kerana cinta sebagai anak saudaranya bukan sebagai seorang Nabi dan dasar agama.

“Ketika Abu Thalib hendak meninggal dunia, maka Rasulullah S.A.W mendatanginya. Di sisi Abu Thalib ada Abu Jahal bin Hisyam dan ‘Abdullah bin Abi Umayyah bin Mughirah. Rasulullah S.A.W berkata kepada Abu Thalib, “Wahai bapa saudaraku! Katakanlah ‘laa ilaaha illallah’, suatu kalimat yang dapat aku jadikan sebagai hujah (argumentasi) untuk membelamu di sisi Allah S.W.T”. Maka Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umayyah berkata, “Apakah Engkau membenci agama Abdul Muthallib?” Maka Rasulullah S.A.W terus-menerus mengulang perkataannya tersebut, sampai Abu Thalib akhirnya tidak mahu juga mengucapkannya. Dia tetap berada di atas agama Abdul Muthallib dan enggan untuk mengucapkan ‘laa ilaaha illallah’.”
(HR. Bukhari no. 1360 dan Muslim no. 141)

Alhamdulillah, ‘Abdullah bin Abi Umayyah bin Mughirah yang bersamanya ketika itu, akhir hidupnya telah memeluk islam.

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau cintai (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah S.W.T jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).”
(Al-Qasas : 56)

Alhamdulillah, kita sudah berada dalam hidayah Allah S.W.T, beragama Islam. Sekarang kita sedang berada di pertengahan Syaaban dan beberapa hari lagi akan berada di bulan Ramadan; bulan penyucian jiwa, bulan anugerah takwa, bulan keampunan dan bulan diturunkan al-Quran yang semua tahu bahawa, al-Quran adalah kitab hidayah.

“Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah S.W.T dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.”
(Al-Baqarah : 2)

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…”
(Al-Baqarah : 185)

Jadi kita yang sudah Islam, tiada jaminan yang hidayah itu akan tetap bersama kita. Ada orang-orang yang kita anggap soleh tetapi ternyata mati dalam keadaan murtad. نعوذ بالله من ذلك – nauzu billahi min zalik. “Kami berlindung dengan Allah S.W.T daripada perkara (perkara buruk) tersebut (daripada menimpa kami).”

Balasan dunia bagi orang murtad

Dari Anas R.A berkata: Ada seorang laki-laki Nasrani masuk Islam lalu menghafal surah Al-Baqarah serta Ali Imran. Dia biasa menulis untuk Nabi S.A.W, tetapi kemudian dia kembali kepada agama Nasrani dan berkata: “Tidak ada yang diketahui Muhammad melainkan apa yang aku tulis untuknya.” Kemudian Allah S.W.T mematikannya lalu mereka (teman-temannya) menguburkannya.

Pada keesokan harinya, jasadnya dimuntahkan oleh bumi, maka teman-temannya berkata: “Ini adalah perbuatan Muhammad dan sahabat-sahabatnya kerana teman kita ini berpaling dari agama mereka, lalu mereka membongkar kuburannya dan mencampakkannya.” Maka mereka kembali menguburkannya dan menggali lubangnya lebih dalam.

Namun keesokan harinya, jasadnya kembali dimuntahkan oleh bumi, maka teman-temannya berkata: “Ini adalah perbuatan Muhammad dan sahabat-sahabatnya kerana teman kita ini berpaling dari agama mereka, lalu mereka membongkar kuburan teman kita ini dan mencampakkannya.” Maka mereka kembali menguburkannya dan menggali lubangnya lebih dalam lagi sehingga yang mereka mampu.

Akan tetapi kembali pada keesokan harinya jasadnya itu dimuntahkan kembali oleh bumi hingga mereka menyedari bahawa kejadian itu bukan perbuatan manusia dan akhirnya mereka mencampakkannya begitu saja.”
(Sahih Bukhari, no. 3348, Sahih Muslim, no. 1987, Musnad Ahmad, no. 12846)

Jadi, mungkinkah orang yang sudah hafal al-Quran menjadi murtad? Mungkin seperti hadis di atas. Jadi tiada jaminan kita untuk terus berada dalam Islam kalau kita tidak menjaga hidayah yang Allah S.W.T telah berikan. Dan Allah S.W.T telah berpesan dalam firman-Nya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(Ali-Imran : 102)

Dan doa-doa daripada orang-orang yang soleh dari al-Quran:

رَّبَّنَآ إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًۭا يُنَادِى لِلْإِيمَٰنِ أَنْ ءَامِنُوا۟ بِرَبِّكُمْ فَـَٔامَنَّا ۚ رَبَّنَا فَٱغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّـَٔاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ ٱلْأَبْرَارِ

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang banyak berbakti (Orang-orang yang soleh).”
(Ali-Imran : 193)

BAGAIMANA UNTUK MENJAGA HIDAYAH AGAR TETAP MENJADI ORANG-ORANG YANG SOLEH:

  1. Berdoalah minta jalan yang lurus.

Persoalannya sekarang, adakah kita benar-benar ingin berada atas jalan yang lurus. Di bulan Ramadan ini nanti, hendaklah sabar melaksanakan solat tarawih yang nanti di dalamnya, kita akan meminta ditunjuki jalan yang lurus di setiap rakaat solat tarawih kita. Sedangkan Nabi S.A.W telah mengingatkan kita bahawa Allah S.W.T tidak menerima doa daripada hati yang lalai.

Sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Berdoalah kepada Allah S.W.T dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah S.W.T tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi lupa.”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi (3479))

Jadi hadirkan hati ketika meminta sesuatu atau berdoa kepada Allah S.W.T.

Abu Zarr Al-Gifariy R.A meriwayatkan dari Nabi S.A.W tentang apa yang beliau riwayatkan dari Tuhannya: “…. Wahai hamba-hamba-Ku! Kamu sekalian itu tersesat, kecuali yang Aku beri petunjuk; maka mintalah petunjuk kepada-Ku, niscaya Aku akan memberikannya kepada kalian…”
(Hadis sahih – Diriwayatkan oleh Muslim)

Jangan kita menjadi seperti golongan manusia yang menyatakan belum diberikan hidayah kerana mereka tidak pernah meminta hidayah daripada Allah S.W.T. Mereka sebenarnya, tidak mahukan hidayah Allah S.W.T. Seandainya hidayah datang pun, mereka tolak. Jadi apa yang harus kita lakukan? Tiada pilihan kecuali berdoa. Di bawah ini, antara doa-doa yang boleh diamalkan yang telah diajarkan oleh Nabi S.A.W:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى

“Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketaqwaan, al-iffah (terhindar daripada perbuatan yang tidak baik) dan al-ghina (kecukupan serta tidak meminta-minta).”
(HR Muslim  No: 2721)

Rasulullah S.A.W mengajar kita agar meminta empat perkara dalam doa ini:

1. Al-huda iaitu petunjuk dlm ilmu dan amal.

2. Al-taqwa iaitu sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar melaksanakan perintah Allah S.W.T dan menjauhi larangan-Nya.

3. Al-afaf iaitu dijauhkan daripada perkara yang diharamkan seperti zina dan yang seumpamanya.

4. Al-ghina iaitu dicukupkan oleh Allah S.W.T dengan apa yang ada di sisi manusia dengan sifat qonaah, selalu merasa cukup ketika Allah S.W.T memberinya harta sedikit atau pun banyak

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pesongkan hati-hati kami kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi.”
(Ali Imran : 8)

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِيْنِكَ

“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami atas agama-Mu.”
(HR. Ahmad dan Al-Tirmizi)

اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

“Ya Allah yang mengubahkan hati, ubahlah hati-hati kami kepada mentaati-Mu”
(HR Imam Muslim)

Kita yakin bahawa hidayah ini milik Allah S.W.T dan kita tidak akan dapat masuk syurga tanpa hidayah dan rahmat Allah S.W.T. Jadi mintalah kepada Allah S.W.T. Semoga Allah S.W.T memelihara iman kita semua sehingga ke akhir hayat.

  • Perlu berjuang untuk mendapatkan hidayah Allah S.W.T

Jangan mengharapkan malaikat atau seseorang untuk mengajak kita ke masjid dan berbuat kebaikan atau meminta orang-orang lain mendoakan untuk kita. Kita sendiri mesti bergerak melakukannya sendiri.

Contoh, ketika azan telah memanggil kita, gerakkan kaki kita ke masjid, tinggalkan telefon dan pekerjaan kita, bergerak untuk berwuduk. Jadi di sini, perlunya satu perjuangan dan keinginan yang kuat untuk menyahut panggilan Allah S.W.T dalam apa sahaja keadaan dan perintah-Nya. Lihatlah apa janji Allah S.W.T kepada orang-orang yang berusaha:

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah S.W.T adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”
(Al-Ankabut : 69)

Daripada Abu Hurairah R.A, dia berkata; Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah S.W.T tidak melihat kepada rupa paras dan harta kalian, tetapi Allah S.W.T melihat kepada hati dan amal kalian.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Dalam kehidupan ini, kita tidak boleh menilai orang dari luarannya (don’t judge a book by its cover) kerana kekadang kita lihat mereka seperti orang baik-baik tetapi realitinya, hatinya tidak baik, dipenuhi riak dan kesombongan dan sebaliknya. Allah S.W.T tahu! Jadi kita perlu benar-benar berjuang untuk mengapai hidayah, menyempurnakan akhlak dan menjadikan diri sebagai hamba Allah S.W.T.

Kesempurnaan manusia itu dengan dua perkara:

  1. Dengan ilmu. Hanya dengan belajar mereka akan jadi tahu mana yang boleh dilakukan dan mana yang tidak boleh dilakukan.
  2. Tidak cukup dengan adanya ilmu semata, tetapi mesti ada semangat untuk mengamalkannya.

Lihat apa yang telah dilakukan oleh sahabat Rasulullah S.A.W, Salman al-Farisi. Yang begitu gigih berjuang mencari hidayah dan kebenaran tentang agama yang ingin dianutinya yang akhirnya, beliau menjadi sahabat dan pendamping setia Rasulullah S.A.W di medan perang. Beliau telah meninggalkan keluarganya dan kemewahan hidupnya demi ingin mancari hidayah Allah S.W.T, bertahun-tahun lamanya.

Bermula dari kediamannya, di Desa Jayyun, Kota Isfahani, Persia atau Iran, beliau menerima cabaran yang dahsyat daripada keluarganya dan pergi ke Syam untuk belajar agama. Dari Syam, beliau pergi ke Kota Mosul, Irak dan dari sana, beliau berjalan terus ke Turki, ke Kota Romawi dan di sini, beliau mendengar berita tentang Nabi akhir zaman yang akan hijrah dari tanah Arab ke Kota Madinah. Di Madinah, beliau dibeli sebagai hamba oleh seorang Yahudi.

Tersangat gembira dengan berita ketibaan Nabi Muhammad ke Madinah. Beliau segera mengambil bekal menemui Rasulullah S.A.W di Quba. Beliau menguji Nabi S.A.W dengan pemberian sedekah dan hadiah. Ternyata, Rasulullah S.A.W, benar-benar seorang Nabi akhir zaman. Salman terus tersungkur, menangis kegembiraan. Rasulullah S.A.W terus mengajak Salman mendekat dan disuruh menceritakan kehidupannya selama ini mencari kebenaran ajaran agama.

Setelah masuk Islam dan dimerdekakan, Salman sentiasa ingin berada di sisi Rasulullah S.A.W. Salman mangkat ketika pemerintahan Utsman bin Affan ketika berusia 88 tahun.

Jadi, di sini dapat kita pelajari bahawa hidayah bukan milik kita, yang boleh diwariskan kepada orang-orang terdekat. Contoh, bapa saudara Nabi S.A.W, Abu lahab dan Abu Thalib, kedua mereka menolak Islam yang dibawa Nabi S.A.W tetapi hidayah itu telah sampai kepada yang dari jauh mencarinya iaitu Salman Al-Farisi. Jadi hidayah itu milik Allah S.W.T.

  • Dengan membaca al-Quran

Jadi di bulan Syaaban ini dan Ramadan yang tidak lama lagi akan tiba, pertingkatkan bacaan, fahami terjemahannya  dan tadabbur dengan al-Quran.

Pada masa zaman Nabi S.A.W dahulu, mereka tidak banyak berkata-kata dalam berdakwah kecuali membacakan ayat-ayat al-Quran kepada orang-orang musyrikin dan mereka masuk Islam. Orang-orang Arab mengerti tentang bahasa al-Quran apabila dibacakan kepada mereka dan ianya kitab hidayah.

Saidina Uthman mengatakan, “Kalian tidak akan pernah puas apabila membaca ayat-ayat al-Quran.”

Berbeza pula dengan kita, mudah rasa letih dan bosan bila membaca ayat-ayat Allah S.W.T ini. Muhasabah diri!

  • Cari sahabat yang baik.

Cari hidayah itu dengan orang-orang sekeliling yang dapat membantu dan jangan masih di takuk yang lama. Bersahabat dengan orang yang dapat memberikan kebaikan dan sering menasihati dan mengingatkan kita kepada Allah S.W.T.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.”
(At-Taubah : 119)

Rasulullah S.A.W juga bersabda, “Seseorang itu sesuai dengan agama temannya, maka hendaklah di antara kamu memperhatikan dengan siapa ia berteman.”
(HR. Abu Dawud dan At-Tirmidzi).

Imam Asy-Syafi’i R.A pernah menuturkan, “Jika engkau memiliki teman yang dapat membantumu dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah S.W.T, maka genggamlah ia erat-erat, karena sesungguhnya mencari teman yang baik (soleh) itu susah, namun melepaskannya sangatlah mudah.”

Jadi, jangan salah memilih kawan, dan dengarilah pesanan Nabi S.A.W ini:

Dari Abu Sa’id Al-Khudri R.A, dari Nabi S.A.W, beliau bersabda, “Jangan engkau berteman kecuali dengan orang beriman dan jangan memakan makananmu selain orang yang bertakwa!”
(Hadis hasan – Diriwayatkan oleh Tirmizi)

  • Menambah ilmu

Orang berilmu sentiasa berdoa di setiap pagi dengan doa yang sudah diajari Rasulullah S.A.W:

اللَّهُمَّ إنِّي أَسْأَلُكَ عِلْماً نَافِعاً، وَرِزْقاً طَيِّباً، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

“Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Kita memohon pada Ilmu yang bermanfaat agar akan menghantarkan kita kepada hidayah dan bukan ilmu yang akan menjauhkan kita daripada Allah S.W.T.

  • Mengamalkan ilmu

Jangan dibiarkan ilmu yang sudah kita ada tidak diamalkan. Hal ini akan mendedahkan kita pada perkara-perkara dosa dan maksiat. Gapailah hidayah yang sudah menyapa. Jadi, hendaklah kita benar-benar menghargai hidayah ini. Amalkan segera apabila hidayah itu datang.

Masuklah ke syurga Allah S.W.T dan jadilah hamba-hamba-Nya yang bertakwa. Ramadan datang bersama hidayah dan keampunan Allah S.W.T. Bersedialah untuk menyambut kedatangannya dengan hati yang gembira.

Penutup:

Setiap manusia wajib selalu berharap untuk dikurniakan hidayah oleh Allah S.W.T agar dapat melakukan segala amalan baik yang diperintahkan Allah S.W.T dan meninggalkan segala amalan jahat yang dilarang Allah S.W.T. Binalah suasana sekeliling kita daripada kalangan orang-orang yang mencintai Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W.

Fahamilah bahawa hidayah itu milik Allah S.W.T.

Abu Dzar dan Mu’adz bin Jabal meriwayatkan bahwa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Bertakwalah kepada Allah S.W.T bagaimanapun keadaanmu! Ikutilah perbuatan buruk dengan perbuatan baik yang akan menghapusnya! Bergaullah dengan orang-orang dengan akhlak yang baik.”
(HR At-Tirmidzi)

-HARAKAHDAILY 4/3/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!