PELABUHAN KLANG: Kerajaan Selangor dirayu agar mempertimbangkan semula keputusan yang telah dibuat bahawa tiada lagi lantikan guru ganti bagi guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang cuti bersalin.
Dewan Muslimat PAS Selangor terpanggil untuk memberikan cadangan tersebut, merujuk kepada surat pekeliling Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertarikh 14 Februari 2024 yang telah memaklumkan tentang perkara berkenaan.
Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan berkata, cadangan itu dibuat adalah kerana guru ganti sangat memainkan peranan yang penting dalam memastikan kesinambungan pembelajaran dan pendidikan berjalan lancar di KAFA Selangor.
Menurut beliau, antara kepentingan guru ganti ialah bagi menjaga kelancaran pembelajaran di KAFA.
“Ketika guru tetap mengambil cuti sama ada cuti bersalin atau sakit, maka guru ganti inilah yang akan mengisi kekosongan sementara di kelas bagi memastikan bahawa proses pembelajaran tetap terus dapat berjalan tanpa gangguan,” jelasnya.
Tambah Wan Hasrina, guru ganti juga membantu menjaga kualiti dan mutu pengajaran dalam bilik darjah dan memastikan pelajar tetap terlibat dalam aktiviti pembelajaran.
“Oleh kerana guru tetap sering menghadapi tekanan kerja yang tinggi, maka guru ganti dapat membantu mengurangkan beban kerja guru tetap dengan mengambil alih tugas pengajaran sementara.
“Dengan adanya guru ganti, ia membolehkan guru tetap fokus dalam aspek pemantauan dan penilaian pelajar, khususnya sepanjang tempoh akhir akhir tahun,” ujarnya.
Wan Hasrina berkata, guru ganti juga penting dari segi kesinambungan pendidikan dalam memastikan bahawa falsafah pembelajaran untuk setiap mata pelajaran dapat terus diajar sepanjang ketidakhadiran guru tetap.
“Pelajar tidak akan terasa terbantut atau kehilangan ilmu penting dan dapat terus berkembang dalam proses pembelajaran mereka.
“Ia adalah terutama untuk beberapa subjek penting seperti bahasa Arab, Sirah, Ibadah yang sangat memerlukan pengajaran berterusan dari guru ganti yang berpengalaman serta memiliki pengetahuan dalam subjek tersebut bagi memastikan kualiti pengajaran tetap terjamin,” kongsinya lagi.
Beliau juga berkata, guru ganti juga perlu diberi peluang menambah pengalaman dan kesempatan untuk mendapatkan pengalaman mengajar di lapangan, sebelum boleh diserap sebagai guru tetap.
“Dewan Muslimat PAS Selangor sekali lagi menegaskan bahawa peranan guru ganti bukan sekadar mengisi kekosongan, tetapi juga memastikan kelancaran dan kualiti pendidikan di KAFA dapat diteruskan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!