Harga beras masih di tahap kayangan, SST pula datang

Foto hiasan.
- Advertisement -

ENAM bulan berlalu isu harga beras nampaknya belum selesai. Kenaikannya bermula 4 September 2023. Sehingga sekarang Kerajaan Madani belum menemui formula mujarab.

- Advertisement -

Beras Super cap Anggur Biru sebelum ini RM27.50 bagi 10 kg, namun sekarang RM36. Berlaku kenaikan RM8.50. Ia bermakna setiap kg meningkat 85 sen.

Belum pun selesai isu harga beras yang masih di tahap kayangan, tiba-tiba hari ini kadar baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dinaikkan pula. Sebelum ini 6 peratus dan mulai hari ini meningkat kepada 8 peratus.

SST merupakan cukai seperingkat atau ‘single-stage tax’ yang dikenakan ke atas pihak pengeluar atau pengilang.

Kerajaan mengumumkan kadar cukai baharu itu pada 13 Oktober lepas ketika Perdana Menteri Anwar membentang Belanjawan 2024.

Kata Perdana Menteri, cukai itu tidak membebankan rakyat memandangkan peningkatan tersebut tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penaja jaminan dan karaoke.

SST diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan tidak lama selepas menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018. SST diperkenalkan pada 15 Februari 2019.          

Namun, ramai tidak perasan biarpun GST dihapus diganti pula dengan tujuh cukai baharu iaitu cukai jualan, cukai perkhidmatan, levi pelepasan, cukai digital, cukai keuntungan hartanah, cukai soda dan cukai duti-duti setem.

Mengulas kadar baharu SST, Ahli Parlimen Putrajaya Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pengguna akan berdepan dengan kenaikan harga barangan apabila rantaian SST dikenakan.

“Komponen perkhidmatan logistik akan dikenakan SST daripada kosong dinaik kepada 6 peratus. Maka kesan akan menjadi lebih meluas dalam rantaian pembekalan.

“Sedangkan sebelum ini Menteri Kewangan menyebut akan membuat libat urus terlebih dahulu sebelum cukai tersebut dikenakan.

“Misalnya pengilang A keluar satu produk yang diimport dari luar negara. Dalam proses import akan melibat 6 peratus SST dan apabila dibawa kepada pemborong dari kilang sekali lagi dikenakan SST 6 peratus,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Menurutnya rantaian cukai akan dikenakan setiap kali terbabit dengan perkhidmatan logistik. Di mana akhirnya pengguna akan menanggung kesan kenaikan harga produk.

Oleh itu beliau meminta Kementerian Kewangan memberi penjelasan terperinci mengenainya kerana ia masih mengelirukan rakyat.

Beras oh beras

Biarpun isu harga beras tidak selesai, perkhidmatan logistik pula dikenakan cukai. Beras juga perlu perkhidmatan logistik sebelum sampai ke tangan pengguna. Lebih bimbang harga beras akan meningkat lagi.

Lebih celaru lagi beras tempatan hampir tiada di pasaran. Mengapa ia dibiarkan berlaku. Sedangkan sebelum ini kerajaan mengharamkan beras campuran (tempatan-import).

Kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih. Ia dijenamakan sebagai Beras Putih Malaysia Madani (BPMM).

Prof Dr Fatimah dari UPM menganggap langkah itu memperlihatkan kelemahan pembuat polisi. Kedua, ketidakfahaman isu sektor beras. Dan ketiga, tiada analisis impak polisi ke atas industri.

“Kerajaan menampilkan kontradiksi dalam menangani masalah beras campur,” katanya seperti dilapor media.

Sekarang pengilang bebas mencampur atau mengasingkannya di bawah satu jenama. Kata Dr Fatimah ia seolah-olah menghalalkan yang haram.

Namun, kerajaan asyik mencipta alasan masalah global. Ia di luar kawalan. Sama dengan isu Ringgit. Kerajaan Madani seperti hilang idea.

Cuba kita belek pasaran beras dunia sekarang. Pada 14 Februari lepas harganya USD615 satu tan. Sebelum itu pada Januari harga beras USD669 per tan.

Berlaku penurunan USD54 per tan. Persoalannya mengapa harga beras di Malaysia masih kekal di tahap kayangan.

Pihak mana lagi yang hendak dikambinghitamkan lagi. Nampaknya Malaysia masih lagi berlingkar isu benih padi, kartel dan monopoli.

Cuba kita jengok negara jiran. Thailand mempunyai sawah seluas 11.5 juta hektar. Indonesia (10.5 juta hektar) dan Vietnam (7 juta hektar).

Berapa pula luas kawasan bendang aktif di Malaysia. Menurut data kawasan tanaman padi 637,935 hektar. Pengeluaran beras negara kita sekadar 1.57 juta tan metrik.

Pengeluaran beras di Indonesia 54.7 juta tan metrik. Ternyata Malaysia jauh ketinggalan. Mengapa ia terus dibiarkan berlaku. Pelbagai teori dan seminar sudah ribuan kali diadakan, namun masih gagal dijelmakan di bendang.

Nampaknya nasib rakyat terus malang apabila beras tempatan tenggelam di bawah jenama Madani selepas dicampur beras import. Siapa yang akan meraih laba berganda, pesawah atau pengimport beras. – HARAKAHDAILY 1/3/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -