Pengalaman puasa di Iraq

- Advertisement -

SEPANJANG enam tahun di Iraq dari tahun 1993-1999, bulan Ramadan jatuh dalam musim sejuk. Saya tak pernah rasa pengalaman puasa di musim panas. Puasa musim sejuk pendek saja, waktu Subuh sekitar dalam 6.30 pagi, pukul 5.45 petang sudah masuk Maghrib. Kalau musim panas, pukul 4 pagi sudah masuk Subuh, 8.30 malam baru Maghrib, suhu musim panas pula boleh mencecah 48°C. Kemuncak musim panas bulan Jun hingga Ogos. Puasa di musim panas sangat menguji keimanan. Puasa bulan Mac dan April seperti sekarang ialah ambang musim bunga, suhu sedang-sedang sahaja.

- Advertisement -

Biasa juga bila nak pergi kuliah naik teksi bulan Ramadan, drebar akan tanya, انت صاءم “awak puasa tak?” walaupun dia sendiri tengah makan butir kuaci. Saya jawab, kita Muslim wajib kena puasa. Sebab apa pulak awak tak puasa? Drebar teksi Iraq tu kata, “Awak seorang Muslim yang baik, saya ni… لا الدين ولا الدنيا (agama tak ada, dunia pun miskin).

Saya ambil kesempatan bagi tazkirah sikit. Miskin atas dunia boleh tahan lagi, hilang agama akan jadi miskin sampai ke negeri akhirat.

Kedai makan banyak juga yang buka. Tapi pintunya ditutup dengan kain putih yang tertulis

مطعم المفتوح لغير الصاءمون

‘Restoran dibuka untuk orang yang tak puasa’.

Kalau tidak puasa dan rasa tidak malu, pergilah masuk. Tidak ada penguatkuasa jabatan agama yang akan tangkap.

Pengajian di kuliah berjalan macam biasa di bulan Ramadan. Kita rasa biasa saja naik bas turun bas dan berjalan kaki ke kuliah di bulan puasa sebab sebelum ini pun sebenarnya kita lebih kerap lapar dari kenyang. Sampai balik ke apartmen kecil tanpa bilik di kawasan kejiranan Adhamiya pada lewat petang, letak saja sikit beras atas dapur, potong beberapa kerat daging masukkan dalam kuali maka cukuplah untuk mengalas perut. Kalau rasa nak maniskan tekak sikit, beli saja kuih Iraq yang semuanya extra manis.

Kalau kata tidak teringat kepada keluarga dan kampung halaman, itu bohong sebab fitrah manusia dijadikan kasih dan cinta kepada keluarga dan tanah air. Tapi begitulah, jangan biarkan diri kita duduk diam tanpa kerja. Kalau duduk diam termenung kosong, memang hati kita akan digamit rasa rindu yang mendalam. Perhubungan pula sangat sukar. Nak buat panggilan telefon antarabangsa, kita perlu ke Pejabat Pos Besar Iraq. Setiap pemanggil hanya dibenarkan bercakap selama lima minit sahaja. Alternatif lain hanya melalui surat. Jiwa perlu kental, hati kena keras.

Orang Iraq bila jumpa di bulan Ramadan mereka ucap رمضان کریم.

Cara jawab yang betul ialah الله أکرم

Selamat menjalani ibadat puasa Ramadan 1445H yang bakal tiba. – HARAKAHDAILY 29/2/2024

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

- Advertisement -